Perwakilan Umno Wilayah, Johor tolak usul presiden tidak dicabar


Mohd Farhan Darwis

Umno Wilayah Persekutuan dan Johor tolak usul dikemukakan semalam agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2023.

UMNO Wilayah Persekutuan dan Johor menolak usul yang dikemukakan semalam agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Jurucakap Umno Wilayah Zainal Abidin Mohd Rafique berkata jika Perhimpunan Agung Umno (PAU) meluluskan usul itu, ia bakal mengundang perspektif negatif kepada Umno.

“Isu ini jika tidak diberikan perhatian yang serius mungkin memberi kesan bukan saja kepada parti, malah kepada 60% pengundi Melayu di luar sana yang sedang memerhati gelagat kita.

“Sekiranya jawatan ini tidak dipertandingkan, saya bimbang pengundi di luar parti akan menilai parti kita dari perspektif yang negatif,” kata Zainal yang juga ketua Umno Bahagian Bukit Bintang.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan usul ucapan dasar presiden ketika PAU di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambahnya, perkara itu tidak seharusnya dilaksanakan kerana Umno merupakan parti yang bersifat terbuka.

“Umno pada dasarnya adalah sebuah parti politik yang bersifat rasional dan terbuka.

“Sesiapa saja yang dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden nanti pastinya akan mendapat sokongan jitu ahli parti pada akhirnya,” katanya.

Jurucakap Umno Johor dalam perbahasannya sebelum itu turut menolak usul yang dikemukakan secara mengejut oleh perwakilan Negeri Sembilan ketika sesi perbahasan semalam.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Iskandar Puteri Pandak Ahmad berkata jika Umno benar-benar mahukan perpaduan dan kestabilan, PAU juga harus melarang mana-mana jawatan dalam parti daripada dipertandingkan, bukan hanya dua jawatan tertinggi itu.

“Semalam, kita pula membahaskan tentang usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden atas nama perpaduan dan kestabilan parti.

“Kenapa bukan semua jawatan parti di bahagian dan cawangan juga tidak dipertandingkan? Barulah perpaduan dan kestabilan parti terjaga.

“Bawalah usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan parti di peringkat tersebut, tak perlu kelulusan dan persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan due process yang sepatutnya,” katanya ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden.

Pandak berkata tidak sepatutnya usul itu dibawa memandangkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding mempertahankan jawatan itu.

“Seingat saya, presiden berjabat tangan, ready to fight kepada KJ (Khairy Jamaluddin), seingat saya, presiden pun berjiwa besar dan tidak ada masalah untuk bertanding dan yakin untuk mempertahankan jawatan, begitu juga timbalan presiden.

“Saya pun pelik, macam mana usul tambahan ini boleh diterima dan dibahaskan. Mungkin Umno sekarang dah jadi parti asal boleh agaknya,” katanya.

Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil semalam mengesahkan usul agar jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dibawa secara mengejut dan tidak ada dalam senarai usul yang akan dibahaskan ketika PAU.

Usul itu dibawa perwakilan Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin ketika sesi perbahasan ucapan dasar presiden turut disokong perwakilan dari Terengganu, Selangor, Wanita dan Pulau Pinang. – 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen