LEBIH AS$21,000 dibelanjakan di sebuah restoran biasa sementara AS$10,700 habis di sebuah bakeri dalam satu hari.
Pendedahan kepada umum perbelanjaan kad kredit rasmi bekas presiden Brazil Jair Bolsonaro itu mengejutkan ramai di negara itu.
Lebih AS$5 juta dibelanjakan menggunakan kad kreadit itu sepanjang empat tahun pemerintahannya, menurut penyata akaun yang disiarkan di laman web kerajaan semalam.
Bolsonaro dan 21 lagi pegawainya mempunyai akses terhadap kad itu.
Tidak seperti pemimpin sebelum ini, Bolsonaro mendedahkan maklumat rasmi termasuk perbelanjaan kad kredit kepada umum, di mana dasar itu ditarik semula oleh penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva.
Jumlah keseluruhan yang dicaj pada kad itu hampir separuh daripada dibelanjakan semasa tempoh empat tahun pertama pentadbiran Lula pada 2003, walaupun beliau menggunakannya untuk tujuan penginapan semasa melancong ke luar negara.
Bolsonaro sebelum ini sering mendakwa tidak menggunakan satu sen pun pada kad itu.
Berdasarkan analisis rekod yang baharu dibuka laman web berita Uol mendapati lebih AS$235,000 dibelanjakan Bolsonaro semasa bercuti pada 2019, 2020 dan 2021.
Hampir AS$14,000 dibelanjakan sekali di stesen minyak dan AS$286,000 lagi untuk beberapa lawatan ke hotel mewah di Guaruja iaitu sebuah pusat peranginan tepi laut berhampiran Sao Paulo.
Menurut laman web G1, hotel itu menempatkan ahli rombongan Bolsonaro, sementara beliau menginap di kompleks tentera.
Perbelanjaan tinggi antaranya turut membabitkan pembelian makanan. – AFP, 14 Januari, 2023.
Komen