SEKUMPULAN besar anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Taliban untuk menghentikan layanan yang didakwa menindas wanita di negara itu.
Gesaan itu dibuat wakil anggota Majlis Keselamatan dari Jepun, Albania, Brazil, Ecuador, Perancis, Gabon, Malta, Switzerland, Emiriah Arab Bersatu, Britain dan Amerika Syarikat (AS).
Mereka sepakat membuat ketetapan itu ketika Taliban yang mula berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021 meningkatkan sekatan yang ketat kepada wanita di negara berkenaan.
Duta Jepun Ishikane Kimihiro yang mewakili 11 anggota Majlis Keselamatan menyuarakan tuntutan supaya Taliban menarik semula semua tindakan bersifat menindas kaum wanita di negara itu.
“Kami mahu Taliban menghormati hak wanita dan kanak-kanak perempuan, dan pembabitan mereka dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan dan hak awam secara sama rata, adil dan merentasi semua aspek masyarakat di Afghanistan,” katanya.
Taliban sebelum ini menjanjikan pentadbiran dalam versi lebih baik daripada pemerintahan tegas mereka pada 1996 hingga 2001 yang terkenal dengan pencabulan hak asasi manusia di mata antarabangsa.
Namun, selepas lebih setahun mentadbir, Taliban dilihat mengecualikan pembabitan wanita dalam hampir semua aspek kehidupan termasuk melarang mereka mendapatkan pendidikan menengah dan tinggi, bekerja di sektor awam dan pergi ke taman.
“NGO tidak akan dapat membantu mereka yang memerlukan khususnya wanita dan gadis, bagi penyediaan bahan dan perkhidmatan yang menyelamatkan nyawa,” katanya.
Malah, beberapa kumpulan bantuan antarabangsa menghentikan sementara tugas mereka di Afghanistan kerana larangan yang diumumkan kerajaan Taliban pada 24 Disember.
Namun, PBB menjelaskan agensinya akan terus berkhidmat di Afghanistan. – AFP, 14 Januari, 2023.
Komen