Banyak lagi yang tidak didedahkan di ‘Spare’, kata Putera Harry


Buku autobiografi Putera Harry, Spare mula dijual sejak Selasa lalu, yang turut mendedahkan kisah monarki diraja Britain. – Gambar Facebook, 14 Januari, 2023.

PUTERA Harry berkata banyak perkara tentang keluarganya tidak didedahkan dalam buku biografinya itu kerana beliau tidak mahu dunia tahu kerana beliau tidak fikir mereka akan memaafkannya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual bersama Daily Telegraph yang disiarkan semalam.

Putera Harry memberitahu akhbar United Kingdom (UK) itu beliau ada bahan mencukupi untuk menulis sebuah lagi buku lain yang pengisiannya menumpukan kepada hubungan dengan abangnya, Putera William dan bapanya, Raja Charles III.

“Draf pertama adalah berbeza. Ia 800 halaman, dan kini dikurangkan kepada 400 halaman.

“Sebenarnya ia boleh dipecahkan kepada dua buku… dan bahagian paling sukar adalah menarik keluar sesetengah isi kandungan buku itu.

“Ada beberapa perkara yang berlaku, terutamanya antara saya dan abang, dan sedikit sebanyak antara saya dan ayah di mana saya tidak mahu dunia tahu,” katanya.

Harry yang meninggalkan keluarga dirajanya berkata media ada banyak maklumat mengenai keluarganya namun menyimpannya  dengan tujuan untuk mendapatkan berita sensasi lain.

Selepas beberapa bulan menanti dan diberikan publisiti penuh, “Spare” mula dijual sejak Selasa lalu.

Keluarga diraja itu sehingga kini mempertahankan kedudukan mereka daripada pendedahan dalam Spare yang menyakitkan.

Melalui Spare, Putera Harry menggambarkan Raja Charles III menghadapi masalah gangguan emosi kerana menjadi mangsa buli yang kejam ketika zaman kanak-kanaknya.

Namun, Putera Harry turut menyifatkan Raja Charles III sebagai bapa yang penyayang.

Harry berkata pendedahan yang dibuat kepada orang awam bukan berniat untuk meruntuhkan institusi diraja itu namun berasa bertanggungjawab untuk mengubahnya demi melindungi anak Putera William.

“William dengan tegas menjelaskan anaknya bukan tanggungjawab saya,” katanya.

Buku itu diterbitkan selepas dokumentari Netflix berdurasi selama enam jam bertajuk “Harry & Meghan”.

Tinjauan YouGov Isnin lalu mendapati 64% rakyat Britain kini mempunyai pandangan negatif terhadap putera itu, selain memperoleh penilaian yang rendah.

Meghan yang mendapat ulasan menyedihkan melalui tinjauan itu, menurut New York Times turut berdepan ketegangan daripada penerimaan orang ramai di negara kelahirannya. – AFP, 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen