Usul tiada pertandingan disambung perbahasan hari ini, kata ketua penerangan Umno


Mohd Farhan Darwis Noel Achariam

Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil berkata perlembagaan Umno tidak menghalang mana-mana pihak daripada mencalonkan diri bertanding.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2023.

UMNO hari ini akan memutuskan usul tergempar agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti, kata Ketua Penerangan Umno Hizatul Isham Abdul Jalil.

Katanya, usul yang dibawa oleh wakil negeri dari Negeri Sembilan itu akan disambung untuk perbahasan hari ini.

“Masih dalam perbahasan, esok (hari ini) akan bersambung,” katanya kepada pemberita semalam.

Isham menjelaskan usul itu sebenarnya tiada dalam senarai usul perbahasan sebaliknya dibawa secara tergempar.

Usul itu dikemukakan oleh perwakilan Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin semasa membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) petang semalam.

“Ada tujuh usul (dalam senarai perbahasan) dan usul untuk jawatan itu tak dicabar adalah usul tambahan, usul ad hoc, dibawa oleh wakil negeri,” kata Isham.

Usul itu disokong perwakilan Terengganu, Selangor, Wanita dan Pulau Pinang, jelasnya.

Isham bagaimana pun menjelaskan biarpun sekiranya perwakilan PAU bersetuju dengan usul itu, perlembagaan Umno tidak menghalang mana-mana pihak daripada mencalonkan diri bertanding.

Dalam ucapannya semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan PAU untuk memutuskan sama ada jawatan tertinggi parti itu wajar dicabar atau tidak.

“Saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama presiden dan timbalan presiden parti.

“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan,” kata Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar di perhimpunan agung parti itu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata beliau yakin anggota parti itu mampu menilai keupayaannya berbanding calon yang bakal menentangnya untuk kedudukan tersebut.

“Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya.

“Namun, saya yakin ahli-ahli Umno boleh menilai yang mana kaca yang mana permata, yang mana pepat di luar, rencong di dalam.

“Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana fake,” kata Ahmad Zahid lagi.

Sebelum ini terdapat gesaan daripada beberapa pihak termasuk 140 daripada 191 ketua bahagian Umno yang menggesa agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan. – 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen