Thailand raih ikrar pelaburan 664.6 bilion baht


Nilai ikrar pelaburan di Thailand mencecah 664.6 bilion baht pada akhir 2022 iaitu peningkatan sebanyak 39% berbanding tahun sebelumnya. – Gambar EPA, 14 Januari, 2023.

NILAI ikrar pelaburan di Thailand mencecah 664.6 bilion baht (100 baht = RM13.13) pada akhir 2022 iaitu peningkatan sebanyak 39% berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor utama termasuk rantaian bekalan kenderaan elektrik (EV).

Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) Narit Therdsteerasukdi berkata peningkatan jumlah permohonan itu disumbangkan terutamanya oleh syarikat peneraju global seperti BYD Auto, Foxconn dan Amazon Web Services.

“Ini membuktikan keyakinan mereka terhadap Thailand sebagai destinasi mesra pelabur dan berdaya tahan bagi tujuan pelaburan untuk industri masa depan.

“Pencapaian itu amat bertepatan bagi 2023 memandangkan kami turut menjangkakan sektor sama akan menjana lebih banyak pelaburan.

“Malah, kami menjangkakan nilai ikrar pelaburan bagi 2023 adalah sekitar 500 bilion hingga 600 bilion baht,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha semalam.

Menurut BOI, pelabur tempatan dan asing telah mengemukakan sejumlah 2,119 permohonan bagi promosi pelaburan dengan nilai gabungannya sebanyak 664.6 bilion baht, diterajui oleh pelaburan dalam sektor elektronik dan peralatan elektrik yang bernilai 129.5 bilion baht.

Kumpulan kedua terbesar dari segi gabungan nilai pelaksanaannya adalah sektor automotif iaitu 105.4 bilion baht.

Pelaksanaan pelaburan dalam rantaian bekalan EV yang merangkumi EV tulen, kenderaan elektrik hibrid “plug-in”, kenderaan elektrik hibrid serta bateri pula berjumlah hampir 54 bilion baht, katanya.

Dalam pada itu, Narit berkata projek FDI melonjak 36% daripada tahun sebelumnya kepada hampir 433.971 bilion baht yang mewakili 65% daripada jumlah komitmen pelaburan.

Beliau berkata, pelaburan dari China di kedudukan teratas senarai nilai FDI yang merangkumi 158 projek dengan nilai gabungan mencecah 77.4 bilion baht dan diikuti Jepun (50.8 bilion baht bagi 293 projek), Amerika Syarikat (50.3 bilion baht, 33 projek), Taiwan (45.2 bilion baht, 68 projek) dan Singapura (44.3 bilion baht, 178 projek).

Selain itu, Koridor Ekonomi Timur (EEC) iaitu kawasan perindustrian utama Thailand merangkumi wilayah Chonburi, Chachoengsao dan Rayong menjadi pilihan utama dari segi kedudukan serantau dan menarik pelaburan bernilai 358.8 bilion baht – melonjak 84% berbanding pada 2021. – Bernama, 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen