Korea Selatan, Singapura mulakan pakatan kerjasama digital hujung minggu ini


Singapura mempunyai platform e-dagang terkemuka seperti Lazada dan Shopee. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2023.

KOREA Selatan dan Singapura merancang memulakan pakatan rasmi perkongsian digital dua hala pada hujung minggu ini sebagai langkah meningkatkan perdagangan digital dan kerjasama industri, kata kementerian perdagangan Seoul.

Perjanjian Perkongsian Digital (DPA) ditetapkan untuk dilaksanakan bermula hari ini, kira-kira dua bulan selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian perdagangan digital, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Yonhap melaporkan  kedua-dua negara memulakan rundingan untuk menjayakan pakatan itu pada Jun 2020. Ia merupakan perjanjian perdagangan digital pertama Korea Selatan.

DPA bertujuan menetapkan peraturan dalam transaksi digital yang lebih pantas dan selamat, memudahkan perdagangan dalam alam digital, termasuk kandungan digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian dan melindungi pengguna dengan lebih baik sepanjang tempoh urus niaga dalam talian, menurut kementerian.

Pakatan itu juga dijangka mempromosi eksport Korea Selatan yang lebih meluas ke Asean melalui platform dalam talian memandangkan Singapura mempunyai platform e-dagang terkemuka seperti Lazada dan Shopee.

Singapura merupakan rakan dagangan ke-11 terbesar Korea Selatan dan mempunyai tahap pendigitalan yang lebih kurang sama, menurut kementerian itu. – Bernama, 14 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen