Siti Bainun beri keterangan 16 Januari terhadap dakwaan abai dan aniaya


Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali ddidakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Januari, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk semakan keputusan Mahkamah Sesyen bagi membenarkannya membela diri atas pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan semakan Siti Bainun.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam P.G. Cyril yang mewakili Siti Bainun untuk menangguhkan prosiding membela diri sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

Oleh itu Siti Bainun, 31, perlu membela diri atas pertuduhan pada 16 Januari selepas prosiding ditangguhkan beberapa kali.

Dalam permohonan yang difailkan pada 30 November tahun lepas Siti Bainun memohon perintah Hakim Mahkamah Sesyen untuk memanggilnya membela diri pada 24 November tahun lepas adalah batal dan tidak sah kerana gagal menilai kecacatan pertuduhan-pertuduhan di dalam penghakiman yang dibacakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan (24 November).

Sementara itu di Mahkamah Sesyen Hakim Izralizam Sanusi menetapkan prosiding bela diri Siti Bainun bermula 16 Januari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.

“Saya membenarkan 16 saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan ini dan seramai 11 saksi pembelaan termasuk tertuduh, empat saksi yang ditawarkan pendakwaan dan seorang saksi pendakwaan yang dipanggil semula selepas memberi keterangan di mahkamah. Tertuduh (Siti Bainun) akan menjadi saksi pertama yang akan memberi keterangan,” kata Izralizam.

Peguam M. Yallini yang mewakili Siti Bainun berkata pihaknya memfailkan senarai saksi pembelaan dan pernyataan saksi (Siti Bainun) semalam (12 Januari).

Pada 4 Januari Hakim Sequerah membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan prosiding bela diri Siti Bainun yang dijadualkan pada 5 dan 6 Januari sehingga bantahan awal pendakwaan diputuskan oleh mahkamah hari ini.

Pada 5 Disember lepas Izralizam membenarkan permohonan sama yang sepatutnya bermula pada tarikh sama (5 Disember) kerana wanita itu dimasukkan ke wad akibat radang paru-paru manakala pada 7 Disember prosiding bela diri ditangguhkan sekali lagi apabila Siti Bainun diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari bermula 28 November lepas kerana masalah kesihatan.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama, 13 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen