Ku Li bimbang kesihatan Dr Mahathir, lapor akhbar


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bertemu di satu majlis perkahwinan di Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu. Ia turut dihadiri bekas timbalan perdana menteri, Muhyiddin Yassin (tengah). – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2018.

TENGKU Razaleigh Hamzah melahirkan rasa simpati terhadap Dr Mahathir Mohamad dan bimbang pilihan raya umum yang semakin dekat akan memberi kesan buruk kepada kesihatan calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu, kata Utusan Malaysia hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, PH tidak mempunyai ramai pemimpin dan bergantung kepada bekas perdana menteri itu untuk menarik undi.

Veteran Umno itu berkata beliau hanya boleh berdoa bagi kesihatan ahli politik berusia 93 tahun itu agar dapat berkempen untuk pilihan raya.

“Baru-baru ini beliau masuk hospital, kita tak mahu kesihatannya terganggu kerana kempen ini akan jadi lebih hebat apabila digerakkan sepenuhnya.

“Pemimpin PH tak ramai, satu dalam penjara, satu di luar. Tak ramai, berapa orang saja yang ada. Ini bererti beliaulah kena pikul tanggungjawab. Melihat kepada kedudukan, kesihatan dan umurnya kesian juga,” kata Tengku Razaleigh.

Kedua-duanya pernah bermusuhan. Tengku Razaleigh mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno pada 1987, tetapi kalah, menyebabkan perpecahan dalam Umno.
Ia membawa kepada pengisytiharan haram parti itu oleh mahkamah.

Dr Mahathir kemudiannya menubuhkan Umno Baru. Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 pada 1989 tetapi menyertai semula Umno pada 1996.

Sementara itu, Tengku Razaleigh juga memberitahu Utusan tidak mudah bagi PH untuk memenuhi janji bagi menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

PH berjanji dalam manifesto untuk memansuhkan GST dalam tempoh 100 hari mengambil alih Putrajaya.

Tengku Razaleigh, yang merupakan menteri kewangan dari 1976 hingga 1984, mempersoalkan pembangkang apa dirancang untuk menggantikan cukai yang menjana hasil tahunan sebanyak RM40 bilion.

“Dia nak ganti dengan apa kalau nak hapuskan RM40 bilion pendapatan kerajaan? Bagi saya, jika tengok sepintas lalu, kita pun nak hapus GST yang diguna sekarang yang memberi pendapatan tetapi bukan mudah,” katanya. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen