Suspek pembunuhan Shinzo Abe didakwa selepas semakan psikologi


Suspek Tetsuya Yamagami, 42, telah menghabiskan berbulan-bulan penilaian psikiatrik, dan kini, menurut pendakwa raya, dia layak dibicarakan atas kesalahan membunuh bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe. – Gambar AFP, 13 Januari, 2023.

PENDAKWA raya Jepun pada Jumaat mendakwa lelaki yang dituduh membunuh bekas perdana menteri Shinzo Abe selepas semakan psikiatri mendapati dia layak untuk dibicarakan, kata media tempatan.

Tetsuya Yamagami telah ditahan serta-merta selepas bekas perdana menteri Jepun itu ditembak mati pada Julai lalu ketika memberi berucap di bandar Nara.

Lelaki berusia 42 tahun itu menghabiskan masa berbulan-bulan menjalani penilaian psikiatrik, yang berakhir awal minggu ini. Dia kini dipindahkan ke balai polis di Nara.

Yamagami berhadapan tuduhan membunuh dan melanggar undang-undang kawalan senjata, menurut media tempatan termasuk, malah dia boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pejabat Pendakwa Raya Daerah Nara enggan mengulas mengenai kes itu apabila dihubungi AFP.

Yamagami telah mengaku membunuh Abe, menurut media tempatan, dan imej yang diambil di tempat kejadian menunjukkan dia memegang dan melepaskan senjata yang kelihatan seperti buatan sendiri.

Dia dilaporkan menyasarkan Abe atas hubungan bekas perdana menteri itu dengan Gereja Penyatuan.

Yamagami dipercayai membenci gereja tersebut kerana sumbangan besar yang diberikan ibunya kepada mazhab yang memufliskan keluarganya.

Abe, yang diberikan pengebumian negara, bukanlah ahli gereja tersebut tetapi mendiang pernah bercakap dengan kumpulan tersebut, seperti mana penceramah terkenal lain seperti bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Diasaskan di Korea pada 1954 oleh Sun Myung Moon, mazhab itu – yang ahlinya kadangkala dirujuk sebagai “Moonies” – mula terkenal di seluruh dunia pada 1970-an dan 80-an.

Gereja itu, secara rasmi dikenali sebagai Persekutuan Keluarga untuk Keamanan dan Penyatuan Dunia, telah menafikan salah laku dan telah berjanji untuk menghalang sumbangan “berlebihan” daripada ahli.

Siasatan selepas kematian Abe mendedahkan hubungan rapat antara gereja dan ramai wakil rakyat pemerintah konservatif, termasuk seorang menteri yang telah meletak jawatan.

Pendedahan itu menimbulkan kemarahan orang ramai dan membantu menaikkan penilaian kelulusan untuk pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida ke paras terendah.

Kishida telah mengarahkan siasatan kerajaan yang boleh menyaksikan Gereja Penyatuan kehilangan status pengecualian cukainya di Jepun, walaupun ia masih boleh terus beroperasi.

Kerajaannya juga telah meluluskan peraturan mengetatkan undang-undang sekitar derma agama.

Butiran yang telah muncul mengenai zaman kanak-kanak Yamagami, termasuk ibunya yang didakwa mengabaikan anak-anaknya untuk menjalankan aktiviti gereja, telah menimbulkan kemarahan terhadap organisasi itu dan mencetuskan simpati terhadap Yamagami di kalangan beberapa orang awam Jepun.

Sumbangan wang tunai, pakaian, makanan dan buku membanjiri pusat tahanan Osaka di mana dia ditahan semasa penilaian psikiatrinya.

Kira-kira 15,000 orang juga menandatangani petisyen yang menggesa pendakwa raya berlembut terhadapnya, menurut media tempatan. – AFP, 13 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen