Protes di Brazil, Demokrat gesa Biden usir Bolsonaro


Bekas presiden Brazil Jair Bolsonaro kini berada di AS untuk mengelak hadir istiadat serah jawatan kepada presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva pada 1 Januari lalu. – Gambar AFP, 13 Januari, 2023.

AHLI Parlimen Demokrat mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden membatalkan visa bekas presiden Brazil Jair Bolsonaro dan mengusirnya pulang.

Mereka menegaskan AS tidak seharusnya menawarkan perlindungan kepada sesiapa yang terbabit dalam rusuhan dan cuba menggugat kerajaan baharu Brazil yang dipilih rakyat.

Bolsonaro yang juga sekutu rapat bekas presiden AS Donald Trump ke Florida untuk mengelak daripada menghadiri istiadat serah jawatan kepada presiden baharu, Luiz Inacio Lula da Silva, yang berlangsung pada 1 Januari lalu.

Beliau sebaliknya membuat dakwaan tidak berasas mencabar kesahihan pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada Oktober lalu.

Ahad lalu, rusuhan tercetus di Brasilia dengan kumpulan penyokong Bolsonaro menyerbu dan merosakkan istana presiden serta bangunan institusi lain, sama seperti kes serangan penyokong Trump pada 6 Januari, 2021 ke atas bangunan Capitol di Washington.

“Kami mengetahui kesan tindakan ini, baik untuk jangka pendek atau jangka panjang, kerana pernah melaluinya sendiri, apabila pegawai kerajaan mencabar norma demokrasi, menyebarkan maklumat salah dan mencetuskan keganasan.

“Kita tidak boleh membenarkan Bolsonaro atau mana-mana bekas pegawai Brazil lain berlindung di AS untuk melarikan diri daripada keadilan atas sebarang jenayah yang mungkin mereka lakukan ketika memegang jawatan,” menurut kenyataan ditandatangani 41 ahli Demokrat.

Antara ahli Parlimen yang membuat gesaan itu adalah pemimpin progresif terkemuka, Joaquin Castro dan Ahi Parlimen Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Gregory Meeks.

Mereka menggesa pentadbiran Biden untuk menilai sama ada lawatan Bolsonaro ke AS kekal sah, kerana dia mungkin memasuki AS dengan visa pelawat rasmi walaupun tidak lagi memegang jawatan presiden.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken ketika ditanya pada sidang akhbar semalam mengenai kehadiran Bolsonaro, berkata AS tidak menerima permintaan daripada Brazil tetapi akan bertindak balas dengan segera jika ada permintaan. – AFP, 13 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen