Lapangan terbang pelancong di Peru ditutup


Demonstrasi sering bertukar menjadi keganasan, dan pertempuran dengan pasukan keselamatan menyebabkan 42 maut setakat ini di Peru. – Gambar Facebook, 13 Januari, 2023.

PROTES yang berlangsung sejak berminggu lalu dan menyebabkan puluhan kematian di seluruh Peru masih diteruskan semalam, dengan ketegangan semakin terasa di bandar Cusco, Andean hingga menyebabkan kerajaan terpaksa menutup hab lapangan terbang pelancong.

Penyokong presiden Pedro Castillo yang digulingkan, berarak dan memasang sekatan di jalan raya di sekitar negara Amerika Selatan itu, mendesak supaya pilihan raya baharu diadakan dan presiden sekarang Dina Boluarte disingkirkan.

Demonstrasi sering bertukar menjadi keganasan, dan pertempuran dengan pasukan keselamatan menyebabkan 42 maut setakat ini, termasuk seorang pegawai polis yang dibakar hidup-hidup di dalam kenderaan, sementara ratusan yang lain cedera.

Hampir separuh daripada mangsa yang maut dalam pertempuran pada malam Isnin di Puno, di mana 17 daripadanya dikebumikan semalam.

Pasukan keselamatan mengawal lapangan terbang susulan penunjuk perasaan merempuh landaasan pada awal kebangkitan protes pada Disember.

Di Cusco, pintu masuk pelancongan untuk Peru bagi pengunjung ke Machu Picchu, lapangan terbang utama terpaksa ditutup semalam sebagai langkah pencegahan, kata kementerian pengangkutan.

Pertempuran berlaku di Cusco pada malam Rabu, di mana kawasan itu adalah bekas ibu kota empayar Inca, dengan penunjuk perasaan cuba masuk ke lapangan terbang, sementara ada yang membakar stesen bas, menyerang kedai dan meletak sekatan batu besar di landasan keretapi. – AFP, 13 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen