Wanita Tunisia berarak desak hak pewarisan


Lebih 1,000 lelaki dan wanita menyertai tunjuk perasaan di Tunisia semalam mendesak hak warisan sama rata antara kedua-dua gender. – Gambar AFP, 11 Mac, 2018.

LEBIH 1,000 penunjuk perasaan berarak di Tunisia diketuai sekumpulan wanita pada Sabtu bagi mendesak hak warisan yang sama rata antara wanita dan lelaki di negara Afrika Utara itu.

Hak pewarisan Tunisia berdasarkan kepada perundangan Islam yang menetapkan lelaki mewarisi dua kali ganda jumlah, berbanding wanita.

Penunjuk perasaan berarak ke Parlimen di ibu kota Tunisia sambil melaungkan hak saksama lelaki dan wanita.

Tahun lalu, Presiden Beji Caid Essebsi mengumumkan rancangan menubuhkan suruhanjaya bagi menyemak “kebebasan individu” dan “hak sama rata dalam semua bahagian” termasuk pewarisan.

Pengumumannya itu mencetuskan bantahan daripada ulama Islam yang mengeluarkan kenyataan berkata cadangan itu secara terang-terangan melanggar ajaran Islam.

Tunisia yang mengguna pakai Kod Status Peribadi 1956 meluaskan beberapa hak kepada wanita dan memansuhkan poligami, dilihat sebagai perintis kepada pembebasan wanita dalam dunia Arab walaupun ketegangan selalu timbul antara pihak konservatif dan reformis.

Revolusi 2011 di Tunisia menggulingkan rejim autokratik presiden Zine el Abidine Ben Ali dan mencetuskan kebangkitan di seluruh dunia Arab di mana perubahan kepada hak warisan dianggap sebagai tabu.

Tetapi aktivis pada Sabtu menekankan bahawa desakan itu bertujuan hak sama rata antara lelaki dan wanita di Tunisia.

“Perlu ada kesaksamaan, ia ada dalam perlembagaan yang diguna pakai selepas kebangkitan 2011,” kata Presiden persatuan Beity yang menyokong wanita, Sana Ben Achour.

Perlembagaan yang diguna pakai pada 2014 menjamin kesaksamaan antara lelaki dan wanita. – 11 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen