AHMAD Zahid Hamidi berkata beliau memaafkan ahli Parlimen gabungan itu yang menyokong usaha Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun presiden Umno itu memberi amaran kepada 10 ahli Parlimen bahawa beliau akan memantau langkah mereka.
“Perkara berkenaan sudah berlalu dan kini kesemua 10 Ahli Parlimen berkenaan bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
”Saya nyatakan saya memaafkan apa yang berlaku itu tetapi saya akan terus bersama Lembaga Disiplin parti melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang atau sama ada mereka ada melakukan mana-mana gerakan,” katanya kepada pemberita selepas melawat bazar di Pusat Dagangan Dunia.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata beliau pasti tindakan mereka ketika itu didorong oleh ketidaktentuan pembentukan kerajaan.
”Tetapi saya yakin mereka menyokong dan memberi dukungan kepada kerajaan yang ada sekarang dan saya yakin kesilapan langkah terdahulu adalah kerana situasi ketika itu,” katanya.
Zahid menamakan ahli parlimen BN yang menandatangani akuan berkanun menyokong usaha Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk menjadi perdana menteri pada mesyuarat pra majlis perhimpunan Umno bersama perwakilan semalam.
Beliau berkata kesemua ahli Parlimen itu diberitahu untuk membatalkan akuan berkanun (SD) mereka dan memberitahu mereka semua keputusan masa depan akan dibuat oleh BN.
Pilihan raya umum 19 November 2022 berakhir dengan PH memperoleh 82 kerusi, Perikatan Nasional memperoleh 74 kerusi manakala BN memperoleh 30 kerusi dan menjadi penentu dalam pembentukan kerajaan persekutuan baharu.
BN memilih untuk bergabung bersama PH, GPS dan GRS. – 12 Januari, 2023.
Komen