Shahelmey serah pada Majlis Tertinggi Umno tentukan kedudukannya dalam parti 


AHLI Dewan Undangan Negeri Tanjung Keramat Shahelmy Yahya berkata ia susulan dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa pelantikan beliau dalam Jemaah Menteri baharu Sabah tidak mewakili Umno.– Gambar Facebook, 12 Januari, 2023.

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat Shahelmy Yahya menyerahkan kepada Majlis Tertinggi Umno untuk menentukan kedudukan beliau dalam parti itu.

Shahelmey berkata ia susulan dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin bahawa pelantikan beliau dalam Jemaah Menteri baharu Sabah tidak mewakili Umno.

“Itu adalah kenyataan daripada dia (Bung Moktar), setakat ini kita serahkanlah kepada pengurusan tertinggi Umno Pusat untuk menangani isu terbabit,” katanya kepada pemberita selepas taklimat di Kementerian Kerja Raya di Kota Kinabalu hari ini.

Semalam Bung Moktar mendakwa dua Adun daripada parti itu yang dilantik menyertai Kabinet negeri tidak mewakili Umno negeri berkenaan.

Dua Adun itu ialah Shahelmy Yahya yang dilantik Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya iaitu portfolio disandang Bung Moktar sebelum ini, manakala Adun Sugut James Ratib dilantik Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

Shahelmey berkata pelantikan jemaah menteri adalah di bawah bidang kuasa ketua menteri mengikut perlembagaan dan keabsahan kabinet baharu itu tidak perlu dipertikaikan.

Beliau berkata ini kerana Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mempunyai sokongan 44 Adun termasuk mendapat restu daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri pada Selasa lepas, Rang Undang-Undang yang dibentangkan berkaitan gas telah diluluskan dan itu adalah bukti bahawa ketua menteri mendapat sokongan (majoriti),” katanya.

Semalam Hajiji mengumumkan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang baharu, dengan tujuh melibatkan Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala masing-masing dua daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Rombakan itu juga menyaksikan pelantikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan sebagai Timbalan Ketua Menteri I, menggantikan Bung Moktar. – Bernama, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen