AKHIRNYA Hassan Al Kontar, seorang pelarian Syria yang “tinggal di lapangan terbang” dan pernah terkandas tujuh bulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Klia), menerima status warganegara Kanada, lapor Al Jazeera.
“Hari ini saya bukan lagi individu tanpa warganegara. Ia umpama deklarasi kemenangan saya selepas bertahun-tahun menjadi pelarian,” katanya dalam temubual semalam.
Hassan, 41, mula menarik perhatian dunia pada 2018 apabila mula merakamkan kesukarannya terkandas di lapangan terbang menerusi media sosial.
Selepas melarikan diri daripada Syria yang bergolak dengan perang, Hassan terkandas di Klia tanpa dokumen imigresen sah, menyebabkan beliau tidak boleh keluar atau melakukan perjalanan ke negara lain.
Kisahnya di media sosial meraih simpati dari seluruh dunia dan menarik perhatian ramai tentang proses terpaksa dilalui individu suaka politik yang cuba mendapatkan perlindungan selepas melarikan diri daripada keganasan di negara asal.
Bercakap tentang kewarganegaraan Kanada yang diperolehinya, Hassan dipetik berkata kepada Al Jazeera, ia satu perjuangan yang panjang dan banyak terpaksa dikorbankan untuk membolehkannya sampai ke tahap ini.
“Saya hilang negara saya yang sudah musnah. Saya tidak dapat berada di sisi bapa saya ketika beliau perlukan saya, hinggalah semasa beliau meninggal dunia. Saya hanya dapat melihat adik lelaki saya berkahwin menerusi Skype ketika saya terkandas di lapangan terbang,” katanya kepada Al Jazeera. – 12 Januari, 2023.
Komen