IS lancar serangan bom, 5 mati di Kabul


Kumpulan Islamic State mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman bunuh diri di luar Kementerian Luar di Kabul semalam, menyebabkan lima terkorban. – Gambar AFP, 12 Januari, 2023.

KUMPULAN Islamic State (IS) semalam mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman bunuh diri di luar Kementerian Luar di Kabul yang didakwa meragut sekurang-kurangnya lima nyawa, sementara 40 yang lain cedera.

Agensi berita Amaq di Telegram melaporkan seorang anggota IS didakwa menyelinap masuk halangan keselamatan Taliban sebelum meletupkan diri dengan bahan letupan di tali pinggangnya.

Ketika kejadian, pasukan AFP sedang mengendalikan temu bual di dalam Kementerian Penerangan di sebelah bangunan ketika letupan itu terjadi.

Seorang pemandu syarikat yang menunggu di luar melihat seorang lelaki memegang beg dan dengan senapang disangkut di bahunya berjalan melewati bangunan, sebelum dia meletupkan dirinya.

“Dia melalui kereta saya dan selepas beberapa saat berlaku letupan kuat. Saya melihat lelaki itu meletupkan dirinya,” kata Jamshed Karimi, sambil menambah, dia melihat 20 hingga 25 mangsa dalam kejadian itu.

Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran berkata lima orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera akibat letupan itu.

Cawangan IS tempatan yang dikenali sebagai Negara Islam-Khorasan (ISK) mendakwa letupan itu membunuh sekurang-kurangnya 20 mangsa termasuk beberapa pekerja diplomatik. – AFP, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen