California dibadai taufan, ribut


Semalam, utara California diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan banjir dan cuaca musim sejuk. – Gambar Facebook, 12 Januari, 2023.

PUTING beliung melanda pantai California membawa hujan lebat semalam, dibimbangi menyebabkan lebih banyak banjir dan tanah runtuh di negeri itu.

Sekurang-kurangnya 18 mangsa mati dalam ribut yang melanda barat Amerika Syarikat (AS) itu, dengan hujan lebat paling luar biasa dalam tempoh 150 tahun.

Penduduk dilanda banjir, bekalan elektrik terputus dan jalan raya tersekat susulan tanah runtuh di California.

Semalam, utara California diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan banjir dan cuaca musim sejuk.

“Hujan paling lebat dijangka melanda tenggara California dalam tempoh dua hari akan datang,” kata Perkhidmatan Cuaca Negara.

Hujan diramalkan sepanjang minggu ini akan menyebabkan limpahan air sungai dan tanah runtuh di kawasan tanah tinggi.

Di bandar Aptos, berhampiran Santa Cruz, penduduk mula pulang ke rumah selepas banjir melanda di kawasan perumahan mereka.

Gabenor California Gavin Newsom yang melawat Capitola pada Selasa, berkata hujan ribut dari Lautan Pasifik masih belum reda, malah hujan yang tidak begitu lebat sekalipun boleh menimbulkan masalah. – AFP, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen