WHO mahu lebih banyak data Covid-19 dari China


WHO berulang kali menyuarakan kebimbangan statistik rasmi China tidak menunjukkan kesan sebenar lonjakan semasa dalam kes Covid-19. – Gambar AFP, 11 Januari, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengulangi keperluan untuk China berkongsi lebih banyak data mengenai wabak Covid-19 di negara itu, sambil memuji “ketelusan radikal” Washington dalam usahanya memerangi sub-varian baharu.

WHO berulang kali menyuarakan kebimbangan statistik rasmi China tidak menunjukkan kesan sebenar lonjakan semasa dalam kes Covid-19.

“WHO masih percaya kematian sangat kurang dilaporkan dari China,” kata pengarah kecemasannya Michael Ryan kepada pemberita.

Beliau menyalahkan definisi sempit Beijing mengenai kematian Covid-19, dan juga menunjukkan keperluan bagi doktor dalam sistem kesihatan awam digalakkan melaporkan kes-kes ini, dan bukan sebaliknya.

Sebaliknya, beliau memuji kerjasama pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS), dengan sub-varian Omicron baharu XBB.1.5 sedang menular pantas.

“Terdapat ketelusan radikal bagi pihak AS dari segi penglibatan dengan WHO mengenai data dan kesan data itu,” katanya.

Maria Van Kerkhove, ketua teknikal WHO mengenai Covid-19, berkata Washington membekalkan hampir semua data yang tersedia setakat ini berhubung XBB.1.5, varin Covid-19 yang paling mudah ditularkan setakat ini.

Subvarian itu, yang dikesan di 38 negara, jelas mempunyai “kelebihan pertumbuhan” berbanding varian lain, katanya kepada pemberita. Ia juga dipercayai lebih berupaya mengelak perlindungan imuniti daripada jangkitan atau vaksin terdahulu.

“Kami belum mempunyai data mengenai tahap keterukan,” tambahnya.

Sementara itu, di China, Ryan memberi amaran walaupun terdapat peningkatan kerjasama, pihaknya masih tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat penilaian risiko komprehensif penuh.

China secara tiba-tiba menggugurkan pendekatan “sifar-Covid-19” bulan lalu selepas tiga tahun menguatkuasakan beberapa sekatan anti-pandemik paling keras di dunia. 
Ia mencetuskan gelombang jangkitan yang memenuhi hospital dan membanjiri krematorium.

Bagaimanapun, menurut angka rasmi hanya 37 kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di China sejak bulan lalu daripada populasi 1.4 bilion.

Berdepan percanggahan sedemikian, agensi itu melahirkan rasa simpati dengan negara yang mewajibkan ujian Covid-19 bagi pelancong dari China.

“Dengan ketiadaan data, negara membuat keputusan untuk mengambil pendekatan berjaga-jaga dan (WHO) berkata tindakan itu boleh difahami,” kata Ryan.

Pegawai China bagaimanapun tidak kelihatan berminat untuk mengubah metodologi mereka.

“Saya rasa tidak perlu untuk melihat punca kematian bagi setiap kes pada masa ini,” kata ahli epidemiologi Liang Wannian, ketua panel pakar yang dilantik oleh kerajaan, memberitahu wartawan pada Rabu.

“Tugas utama semasa pandemik adalah rawatan.”

Agensi kesihatan PBB juga menyatakan kebimbangan China dan banyak negara lain, tidak cukup memfokuskan pada ujian dan penjujukan yang diperlukan bagi membantu mengesan kemungkinan varian baharu virus itu.

Sejak kemuncak gelombang Omicron tahun lalu, “bilangan jujukan yang dikongsi menurun lebih 90%, dan bilangan negara yang berkongsi jujukan menurun sebanyak satu pertiga,” kata Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

Namun ketika Covid-19 terus membunuh antara 10,000 hingga 14,000 orang setiap minggu, sejak September, beliau berkata “dunia tidak boleh menutup mata dan berharap virus ini akan hilang.

“Ia tidak akan berlaku.” – AFP, 12 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen