3 wartawan hilang di Mexico


Mexico dianggap sebagai tempat kerja paling berbahaya di dunia untuk wartawan dan banyak kawasan mengalami keganasan susulan pergaduhan antara kartel dadah. – Gambar AFP, 12 Januari, 2023.

AKTIVIS hak asasi media bimbang dengan kehilangan tiga wartawan di Mexico, dipercayai diculik tiga minggu lalu di kawasan yang dikawal pengedar dadah.

Jesus Pintor Alegre, Fernando Moreno Villegas dan Alan Garcia Aguilar yang bertugas untuk portal berita Escenario Calentano, hilang pada 27 Disember di negeri Guerrero.

Dalam satu video dimuat naik individu tidak dikenali, dua wartawan yang hilang itu tampil dengan tangan dan kaki dirantai.

Menerusi video itu, ada kapsyen menyatakan “terima akibat” kerana laporan mereka berkenaan keganasan di selatan wilayah itu.

Kawasan di mana wartawan berkenaan hilang adalah kawasan kartel dadah yang sangat rumit, sangat kompleks dan dikawal hampir sepenuhnya oleh kartel Familia Michoacana, kata wakil Reporters Without Borders Balbina Flores.

Jawatankuasa untuk Melindungi Waratawan dan kumpulan hak asasi manusia membuat rayuan bersama untuk pihak berkuasa mencari wartawan terbabit, selain memberikan perlindungan kepada saudara dan petugas media yang lain di kawasan itu.

Mexico dianggap sebagai tempat kerja paling berbahaya di dunia untuk wartawan.

Sejak 2000, lebih 150 wartawan dibunuh di Mexico. – AFP, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen