6 cedera insiden tikam di stesen keretapi Paris


SEORANG lelaki warga Libya berusia 20-an menikam enam mangsa di stesen keretapi Gare du Nord di Paris, sebelum ditembak dan ditahan polis, kata pihak berkuasa.

Gare du Nord adalah hab pengangkutan yang sibuk dan turut menghubungkan keretapi ke utara Perancis, London dan utara Eropah.

Polis menyifatkan serangan tikam itu sebagai cubaan bunuh, bukannya serangan pengganas.

Motif penyerang tidak jelas, tetapi sumber polis kemudian mengenal pasti suspek sebagai warganegara Libya dan dikenakan perintah pengusiran.

Beliau tiba di Perancis tiga tahun lalu dan mempunyai rekod jenayah, kata sumber.

Seorang daripada enam mangsa, cedera parah dalam serangan yang berlaku pada 6.42 pagi waktu tempatan, sementara yang lain cedera ringan, kata pendakwa raya.

Insiden itu berlaku dalam tempoh dua minit saja, kata Menteri Dalam Negeri Gerald Darmanin.

Penyerang menggunakan satu alat tajam dalam serangan itu, bukannya pisau.

Suspek mengalami kecederaan serius di dada dan lengan selepas polis melepaskan tiga das tembakan, dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Polis yang melepaskan tembakan adalah polis yang habis tugas dan berpakaian biasa yang menggunakan senjata mereka untuk menghentikan serangan itu, katanya.

Polis terbabit baru pulang dari bertugas di ibu pejabat polis dan menggunakan keretapi untuk pulang ke rumah, tetapi mereka mempunyai senjata. – AFP, 12 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen