Seorang maut, 2 cedera serangan hendap di Narathiwat


Sekumpulan individu bersenjata meletupkan sebutir bom dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan sukarelawan pertahanan di Narathiwat, Thailand pada Rabu. – Gambar EPA, 12 Januari, 2023.

SEORANG anggota sukarelawan pertahanan maut manakala dua lagi cedera parah dalam serangan hendap di Narathiwat, Thailand pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Narathiwat Suthon Sukwiset berkata kejadian berlaku kira-kira 8 pagi (waktu tempatan), ketika lapan anggota sukarelawan pertahanan menaiki empat buah motosikal dalam perjalanan pulang ke markas selepas selesai menjalani kawalan keselamatan di sebuah sekolah di daerah Si Sakhon.

“Sekumpulan individu bersenjata bertindak meletupkan sebutir bom buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah kumpulan sukarelawan pertahanan itu.

“Seorang sukarelawan pertahanan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera parah. 

“Mangsa yang cedera akibat letupan turut terkena tembakan dan senjata mereka dirampas suspek,” katanya kepada pemberita di Narathiwat pada Rabu.

Suspek kemudian bertindak melarikan diri.

Anggota sukarelawan yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Si Sakhon dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. – Bernama, 12 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen