AHMAD Zahid Hamidi hari ini mendedahkan kepada perwakilan Umno nama ahli Parlimen parti itu yang menyokong menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin selepas PRU15 lalu.
Sumber berkata, antara nama wakil rakyat yang disebut presiden Umno tersebuit ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.
“Nama-nama itu disebut ketika penceritaan bagaimana tertubuhnya kerajaan perpaduan,” kata sumber yang enggan mendedahkan identitinya.
Difahamkan, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun dikatakan tidak termasuk dalam kumpulan tersebut.
Ahmad Zahid menyebut ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berkenaan menyatakan sokongan ke atas Muhyiddin dalam bentuk akuan bersumpah, kata sumber.
Sumber berkata Ahmad Zahid mendedahkan perkara itu dalam taklimat tertutup bersama perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Kuala Lumpur hari ini.
Taklimat itu salah satu kempen Ahmad Zahid bagi menjelaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 23 November lalu untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.
Sokongan ke atas Muhyiddin pula berkaitan dengan dakwaan presiden Bersatu tersebut pada waktu itu yang gabungan PN mendapat sokongan 10 ahli Parlimen BN.
Muhyiddin mendakwa sokongan itu membolehkan PN memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan persekutuan.
Gabungan itu menang 74 kerusi Parlimen, manakala Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi, diikuti BN 30 kerusi.
PN bagaimanapun gagal membentuk kerajaan apabila BN bekerjasama dengan PH menubuhkan kerajaan perpaduan dipimpin Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
PAU 2023 akan bermula dengan perasmian sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan, malam ini. – 11 Januari, 2023.
Komen