KRISIS kos sara hidup akan menjadi risiko terbesar dunia untuk dua tahun akan datang, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF) menjelang mesyuarat Davos minggu depan.
Inflasi global kekal pada paras paling tinggi selepas kos tenaga dan makanan melonjak tahun lepas berikutan pencerobohan kuasa pertanian Ukraine oleh pengeluar minyak dan gas utama Rusia.
Kekangan bekalan yang disebabkan oleh pandemik Covid juga telah menyumbang kepada harga pengguna yang tinggi.
“Konflik dan ketegangan geoekonomi telah mencetuskan beberapa siri risiko global yang saling berkaitan secara mendalam,” menurut kajian itu menjelang mesyuarat elit WEF di Davos, Switzerland.
“Ini termasuk masalah bekalan tenaga dan makanan, yang mungkin berterusan untuk dua tahun akan datang, dan peningkatan kukuh dalam kos sara hidup dan pembayaran hutang.”
Tambahnya “krisis itu berisiko menjejaskan usaha untuk menangani risiko jangka panjang, terutamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim, biodiversiti dan pelaburan dalam modal insan”.
Tinjauan yang dihasilkan bersama perunding Marsh McLennan dan Zurich Insurance Group itu mengambil kira pandangan lebih 1,200 pakar risiko global, penggubal dasar dan peneraju industri.
Laporan itu menyifatkan krisis kos sara hidup sebagai “risiko jangka pendek terbesar” menjelang 2025, diikuti bencana alam, kejadian cuaca ekstrem dan “konfrontasi geoekonomi”.
“Landskap risiko jangka pendek didominasi oleh tenaga, makanan, hutang dan bencana,” kata Pengarah Urusan WEF Saadia Zahidi.
“Mereka yang sudah paling terdedah kini menderita, dan dalam menghadapi pelbagai krisis, mereka yang layak dianggap sebagai terdedah kini berkembang, di negara kaya dan juga miskin.”
Kajian WEF itu menyeru “pemimpin untuk bertindak secara kolektif dan tegas, mengimbangi pandangan jangka pendek dan jangka panjang”.
Malah ia menyimpulkan mengenai keperluan untuk kerjasama bagi mengukuhkan “kestabilan kewangan, tadbir urus teknologi, pembangunan ekonomi dan pelaburan dalam penyelidikan, sains, pendidikan dan kesihatan”.
Ramai penganalisis memberi amaran bahawa ekonomi global akan mengalami kemelesetan pada 2023 apabila inflasi kekal tinggi. – AFP, 11 Januari, 2023.
Komen