Pemimpin agama parti ultra-ortodoks Israel meninggal dunia


Pemimpin agama tertinggi parti ultra-ortodoks Yahudi, parti Shas, Rabbi Shimon Baadani dilaporkan meninggal dunia pada Rabu di usia 94 tahun. – Gambar Facebook, 11 Januari, 2023.

PEMIMPIN agama parti Yahudi ultra-ortodoks terbesar dalam gabungan pemerintah Israel, Rabbi Shimon Baadani, meninggal dunia pada usia 94 tahun pada Rabu, umum parti Shas.

Kenyataan parti itu menyebut ia “terkejut, sedih dan pilu susulan pemergian mendiang ke syurga” Baadani.

Rabbi itu mengetuai Majlis Taurat Sages, badan tertinggi Shas yang menyertai kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang baru dibentuk bulan lepas.

Dalam satu kenyataan, Netanyahu menyifatkan Baadani sebagai “cendekiawan dan pemimpin agama yang hebat”.

Parti ultra-ortodoks itu merupakan kunci buat perdana menteri berhaluan kanan tersebut untuk memperoleh majoriti 61 kerusi di Parlimen, dengan Shas menyumbang 11 kerusi kepada gabungan itu.

Pengerusi Shas yang juga menteri dalam negeri Israel, Aryeh Deri, berkata “kegelapan telah turun ke atas dunia kita” berikutan kematian Baadani.

“Malanglah buat kapal yang hilang kaptennya,” tulis Deri di Twitter.

Juga di Twitter, Presiden Israel Isaac Herzog menyatakan pemergian Baadani adalah “kehilangan besar kepada dunia Taurat”.

Baadani memainkan peranan penting dalam kehidupan Yahudi Sephardic Israel dan tinggal di Bnei Brak, sebuah bandar ultra-Ortodoks berhampiran Tel Aviv.

Polis mengumumkan penutupan jalan di Bnei Brak menjelang pengebumiannya pada Rabu, yang dijangka menarik ribuan orang yang berkabung.

Dilahirkan pada 1928 di Palestin yang diperintah British, Baadani merupakan salah seorang rabbi pertama yang dinamakan ke majlis Shas apabila ia ditubuhkan pada 1984.

Pada 2014, cucu lelakinya yang berusia 17 tahun terbunuh dalam serangan rempuhan kereta di Baitulmaqdis.

Baadani mengambil alih sebagai ketua Majlis Pendeta Taurat pada Ogos, selepas kematian pendahulunya Shalom Cohen pada usia 91 tahun. – AFP, 11 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen