Larangan import minyak mentah EU, Rusia kerugian €160 juta sehari


Talian paip Druzhba juga dikenali sebagai Talian Paip Persahabatan ialah saluran utama yang menyalurkan minyak ke Ukraine, Belarus, Poland, Hungary, Slovakia, Republik Czech, Austria dan Jerman. – Gambar AFP, 11 Januari 2023.

LARANGAN Kesatuan Eropah terhadap import minyak mentah dari Rusia dan penetapan had harga minyak mengakibatkan Rusia kerugian €160 juta (AS$171.7 juta) sehari, menurut Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) hari ini.

EU mengharamkan import minyak mentah dari Rusia dan insurans dan pembiayaan pengangkutan minyak Rusia ke negara ketiga, terutamanya melalui laluan maritim.

Larangan EU berkuat kuasa pada 5 Disember 2022.

Kumpulan negara perindustrian EU dan G7 bersetuju dengan penetapan harga minyak Rusia pada $60 setong berkuat kuasa hari yang sama.

CREA mendapati bahawa hasil minyak mentah Rusia menyaksikan kejatuhan 32 peratus pada Disember disebabkan larangan import minyak mentah dan penetapan had harga, lapor Agensi Anadolu.

Selepas Jerman menghentikan import minyak Rusia melalui saluran paip Druzhba pada akhir bulan lepas, ia menyebabkan pengurangan sebanyak lima peratus.

Talian paip Druzhba juga dikenali sebagai Talian Paip Persahabatan ialah saluran utama yang menyalurkan minyak ke Ukraine, Belarus, Poland, Hungary, Slovakia, Republik Czech, Austria dan Jerman.

Menurut laporan itu sejumlah 2.5 juta tong minyak mentah dan 700,000 tong produk petroleum diangkut menerusi saluran paip untuk negara EU pada Oktober.

Walaupun terdapat penurunan pendapatan Rusia masih memperoleh €640 juta sehari daripada hasil eksport bahan api fosil.

Jumlah itu dianggarkan berkurangan sehingga €520 juta apabila larangan EU terhadap import minyak ditapis dan lanjutan penetapan had harga terhadap produk minyak ditapis dikuat kuasa 5 Feb.

“Larangan minyak EU dan penetapan had harga minyak akhirnya bermula, dan impaknya adalah ketara seperti yang dijangkakan.

“Ini menunjukkan bahawa kami mempunyai alat untuk membantu Ukraine mengatasi operasi ketenteraan Rusia.

“Adalah penting untuk menurunkan had harga ke tahap yang menafikan keuntungan minyak boleh cukai kepada Kremlin dan menyekat baki import minyak dan gas dari Rusia,” Lauri Myllyvirta, penganalisis utama di CREA dipetik sebagai berkata dalam kajian itu.

Penemuan CREA menunjukkan bahawa Rusia setakat ini memperoleh €3.1 bilion daripada penghantaran minyak mentah di bawah penetapan had harga semasa dan €2 bilion daripada jumlah ini adalah pendapatan cukai terus kepada kerajaan Rusia.

Memandangkan had harga AS$60 setong jauh melebihi kos pengeluaran Rusia, menurunkannya kepada AS$25-$35 setong akan mengurangkan hasil eksport minyak Rusia sekurang-kurangnya €100 juta sehari, menurut CREA.

“Had harga perlu disemak semula dan penguatkuasaan embargo harus diperkukuh.

“Tanpa pendapatan eksport bahan api fosil, tindakan Rusia terhadap undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia dan alam sekitar akan terbantut,” katanya. – Bernama, 11 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen