KABINET baharu Sabah yang dibentuk hari ini selaras dengan gagasan kerajaan perpaduan yang di bawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata timbalan ketua menteri III.
Shahelmey Yahya berkata penambahan anggota PKR dan DAP dalam kabinet baharu Ketua Menteri Hajiji Noor sama seperti formula kerajaan perpaduan yang disarankan Anwar.
“Ya ini merupakan satu daripada formula kerajaan perpaduan, kerana dengan rakan Kabinet yang baru saja diumumkan telah memasukkan tiga muka baharu (iaitu dua) daripada PH (Pakatan Harapan) dan (satu) BN (Barisan Nasional.
“Daripada Warisan dan satu kumpulan yang nyatakan penentangan terhadap Hajiji, kami telah persetujui bersama untuk tidak menerima mereka.
“Jadi mereka kena terima hakikat. Bertenang, jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah anggota Kabinet Sabah hari ini.
Shahelmey merupakan antara lima Adun Umno yang menyokong Hajiji apabila berlaku cubaan rampasan kuasa untuk menjatuhkan Hajiji baru-baru ini.
Shahelmey dilantik sebagai timbalan ketua menteri III dan menteri kerja raya negeri yang sebelum ini disandang Pengerusi BN Sabah Bung Moktar manakala James Ratib (BN-Sugut) dilantik sebagai menteri pembangunan masyarakat dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Selain Bung Moktar yang digugurkan, dua lagi Adun Umno yang menerima nasib sama adalah Yakub Khan (Karambunai) dan Jafry Ariffin (Sukau).
Rombakan Kabinet Sabah menyaksikan dua Adun PH kembali berada dalam pentadbiran kerajaan negeri. Mereka adalah Adun Api-Api Christina Liew dari PKR dan Phoong Jin Zhe dari DAP (Luyang).
Liew kembali sebagai menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, manakala Phoong diangkat sebagai menteri pembangunan perindustrian.
Sebaik majlis angkat sumpah Kabinet baharu Hajiji, Bung Moktar yang juga ketua Umno Sabah berkata pihaknya tidak mengiktiraf pelantikan dua Adunnya itu ke dalam Kabinet Hajiji.
Beliau berkata pelantikan itu tidak mewakili Umno dan membelakangkan parti, sebaliknya hanya mewakili individu demi kepentingan diri sendiri tanpa memikirkan masa depan parti secara menyeluruh.
“Pelantikan Kabinet baharu melibatkan dua Adun Umno ini tidak mewakili parti, dan kita tidak membuat sebarang pengiktirafan berkenaannya.
“Hajiji Noor juga tidak boleh mengatakan atau mengiktiraf mereka ini mewakili Umno dalam barisan kabinetnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Bung Moktar juga berkata kerajaan negeri diketuai Hajiji bukanlah kerajaan perpaduan seperti yang dicadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dua hari lalu.
Dua Adun Umno yang menyertai Kabinet baharu Sabah itu akan dibawa ke disiplin parti, katanya. – 11 Januari, 2023.
Komen