PRESIDEN Indonesia Joko Widodo (Jokowi) pada Rabu meluahkan kekesalan terhadap pencabulan hak asasi manusia (HAM) besar-besaran republik itu terhadap rakyatnya.
Dalam masa sama Jokowi turut mengakui tentang tragedi pembersihan antikomunis pada 1960-an dan kehilangan penunjuk perasaan pelajar pada penghujung 1990-an, antara lain.
Lebih setengah juta puak haluan kiri telah dibunuh di seluruh republik itu pada pertengahan 1960-an, peristiwa berdarah yang membawa kepada pemerintahan diktator Suharto selama tiga dekad.
Pembunuhan itu membawa kepada kejatuhan Parti Komunis Indonesia (PKI) yang kini diharamkan. PKI pernah menjadi antara parti komunis terbesar di dunia selepas China dan Kesatuan Soviet.
“Dengan fikiran yang jernih dan hati yang tulus, saya sebagai Kepala Negara Republik Indonesia mengakui bahwa pelanggaran hak asasi manusia yang berat memang terjadi di berbagai peristiwa dan saya sangat menyesalkan terjadinya peristiwa pelanggaran HAM yang berat.
“Saya menaruh simpati dan empati yang mendalam kepada para korban dan keluarga korban. Oleh karena itu yang pertama, saya dan pemerintah berusaha untuk memulihkan hak-hak para korban secara adil dan bijaksana tanpa menafikan penyelesaian kehakiman,” katanya ketika berucap di Istana Negara di Jakarta hari ini.
Jokowi turut menyebut pembunuhan dan penculikan berpuluh-puluh penunjuk perasaan pelajar dan aktivis semasa perhimpunan jalanan besar-besaran pada 1998 yang menjatuhkan Suharto.
Beliau berkata demikian berdasarkan penemuan suruhanjaya yang diarahkannya tahun lalu bagi menyiasat pelanggaran hak asasi manusia di republik itu.
Berikut 12 senarai pelanggaran hak asasi manusia yang didedahkan Jokowi hari ini:
1. Peristiwa 1965-1966
2. Peristiwa Tembakan Misteri 1982-1985
3. Peristiwa Talangsari, Lampung 1989
4. Peristiwa Rumah Geudong dan Pos Sattis, Aceh 1989
5. Peristiwa Kehilangan Orang Secara Paksa 1997-1998
6. Peristiwa Rusuhan Mei 1998
7. Peristiwa Trisakti dan Semanggi I - II 1998-1999
8. Peristiwa Pembunuhan Dukun Santet 1998-1999
9. Peristiwa Simpang KKA, Aceh 1999
10. Peristiwa Wasior, Papua 2001-2002
11. Peristiwa Wamena, Papua 2003
12. Peristiwa Jambo Keupok, Aceh 2003. – AFP, 11 Januari, 2023.
Komen