Tiada usul khas isu Umno sertai kerajaan perpaduan, kata Ahmad Maslan


Salhan K. Ahmad

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata perkara itu akan disentuh dalam ucapan dasar presiden parti dan dalam taklimat kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2022. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Januari 2023.

KEPUTUSAN menyertai kerajaan perpaduan tidak akan dibincangkan melalui usul khas dalam Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU 2022), menurut setiausaha agungnya Ahmad Maslan.

Beliau berkata, ia bagaimanapun akan menjadi sebahagian dari ucapan dasar presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi yang akan disampaikan dalam perhimpunan itu.

Perkara itu juga akan dijelaskan dalam taklimat tertutup oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi kepada para perwakilan petang ini, katanya ketika ditanya.

“Kita hendak memahamkan kepada para perwakilan kenapa sertai kerajaan perpaduan… Ia akan dibutirkan oleh presiden kepada perwakilan,” katanya.

Oleh itu, belum dapat dipastikan sejauh mana penerimaan ahli terhadap keputusan itu, katanya lagi kepada pemberita selepas melancarkan pusat media bagi PAU 2022 di bangunan ibu pejabat parti.

Taklimat itu bagi menjelaskan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 23 November lalu ketika tiada parti memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Keputusan MKT itu membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata tumpuan utama ke atas isu juga menyebabkan ketua penerangan bahagian akan menjadi perwakilan dalam PAU2022 sebagai pemerhati.

“Ketua penerangan akan jadi pemerhati supaya dapat sampaikan maklumat secara terus kepada ahli,” katanya.

Bagi tujuan itu, Umno akan mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa sewaktu PAU 2022 untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan ketua penerangan itu hadir, katanya.

Ini kerana ketua penerangan bukan salah seorang dari anggota struktur bahagian yang terpilih secara automatik untuk menjadi perwakilan ke PAU, katanya.

Selain tumpuan ke atas langkah ke hadapan selepas menyertai kerajaan perpaduan, PAU 2022 juga akan memfokuskan pada muhasabah selepas kekalahan dalam PRU15, tambahnya.

Beliau turut menjangka perwakilan membangkitkan isu pemilihan parti yang perlu diadakan sebelum 19 Mei – enam bulan selepas tarikh PRU15 yang berlangsung 19 November lalu.

Katanya lagi, wakil kedutaan dan juga pemimpin dari parti kerajaan tidak dijemput ke PAU pada kali ini untuk membolehkan Umno menumpukan pada isu partinya.

PAU 2022 bermula pada hari ini dengan perasmian perhimpunan agung sayap parti – Wanita, Pemuda dan Puteri. – 11 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen