PEMILIK Instagram dan Facebook, Meta pada Selasa berkata ia akan menyekat pengiklan yang mensasarkan iklan kepada remaja berdasarkan jantina, ketika ia berusaha menolak tuduhan yang platformnya berbahaya kepada pengguna muda.
Bermula pada Februari, gergasi media sosial itu berkata pengiklan yang menjadi sumber pendapatan besar syarikat, hanya akan dapat menggunakan umur dan lokasi apabila menyasarkan iklan kepada remaja di seluruh dunia.
Selain itu, aktiviti remaja di aplikasi milik Meta tidak lagi akan memaklumkan iklan yang mereka lihat, kata syarikat itu.
Dalam catatan blog, Meta berkata perubahan itu berlaku kerana ia menyedari remaja tidak seperti orang dewasa dalam membuat keputusan mengenai cara data dalam talian mereka digunakan untuk pengiklanan.
Meta berkata perubahan itu mencerminkan maklum balas daripada ibu bapa dan pakar serta akan mematuhi peraturan baharu di beberapa negara mengenai kandungan yang disasarkan kepada golongan muda.
Syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Facebook menghadapi tekanan dan denda bagi mengekang amalannya menyampaikan iklan bersasar kepada pengguna, yang berjaya menarik berbilion dolar hasil daripada pengiklanan setiap tahun.
Titan Silicon Valley itu dikenakan denda 390 juta euro (AS$413 juta) minggu lalu sebagai sebahagian pergelutan selama bertahun-tahun dengan Kesatuan Eropah berhubung pengiklanan.
Lebih membimbangkan bagi firma yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg, pengawal selia Eropah juga menolak asas undang-undang digunakan Meta dalam mewajarkan pengumpulan data peribadi pengguna untuk digunakan dalam pengiklanan bersasar.
Google dan Apple juga berdepan siasatan dan denda oleh pengawal selia kerana melanggar undang-undang privasi melalui iklan bersasar.
Sekolah awam di bandar Seattle, AS minggu lalu memfailkan saman terhadap gergasi teknologi, termasuk Meta, kerana didakwa menyebabkan kecederaan mental, kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar.
Pegawai sekolah awam berkata syarikat media sosial bertanggungjawab atas kemudaratan yang dilakukan terhadap kesihatan sosial, emosi dan mental pelajar remaja. – AFP, 11 Januari, 2023.
Komen