Penduduk Dhaka tuntut keadilan kematian pelajar Bangladesh di AS


Orang ramai berhimpun di Dhaka pada Isnin menuntut keadilan kematian pelajar Bangladesh, Sayed Arif Faisal yang ditembak mati polis di AS. – Gambar Facebook, 11 Januari, 2023.

RATUSAN orang berhimpun di Dhaka pada Isnin menuntut keadilan berhubung kes seorang pelajar Bangladesh yang ditembak mati polis di Amerika Syarikat (AS).

Penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan Kementerian Luar pada petang Isnin dan membentuk rantaian, lapor Xinhua.

Mereka membawa sepanduk bertulis “Hak Asasi Manusia Dicabuli di AS Hari Ini”, “Keadilan untuk Faisal” dan “Hentikan Pelanggaran Hak Asasi Manusia”.

Protes tercetus ketika Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat untuk Asia Selatan Laksamana Muda Eileen Laubacher tiba di Dhaka dan mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Bin Momen.

Laubacher tiba di ibu negara pada Sabtu untuk lawatan rasmi empat hari.

Pada 4 Januari, Sayed Arif Faisal yang merupakan seorang pelajar di Universiti Massachusetts Amherst ditembak mati di bandar Cambridge.

Keluarga mangsa menuntut keadilan atas kematiannya.

Kolumnis Bangladesh Ajay Dasgupta mendakwa polis AS menembak mati seorang warga Bangladesh yang tidak disabitkan sebarang kes jenayah.

“Kejadian ini sangat malang. Kami mahukan keadilan untuknya,” katanya. – Bernama, 11 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen