Perancangan peroleh 18 pesawat tempur ringan diteruskan, kata Mohamad


Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata perancangan untuk memperoleh 18 pesawat tempur ringan (light combat aircraft) yang telah diluluskan secara dasar akan diteruskan. – Gambar Facebook Kementerian Pertahanan, 10 Januari 2023.

KEMENTERIAN Pertahanan akan meneruskan perancangan untuk memperoleh 18 pesawat tempur ringan (light combat aircraft) yang telah diluluskan secara dasar, kata menterinya Mohamad Hasan.

“Kita hendak supaya jemaah menteri dan Kabinet baharu ini dapat mengabsahkan apa yang diluluskan (18 pesawat tempur ringan) Kabinet terdahulu.

“Perolehan pesawat tempur ringan masih kekal 18 dan kalau boleh secepat mungkin, tapi ia perlu melalui proses-proses tertentu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan Udara Subang, di Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Udara Jen Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Beliau berkata pihaknya juga akan melihat keutamaan dan cadangan untuk menambah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia melibatkan peruntukan yang besar.

“Kita hendak melengkapkan apa yang sepatutnya kita ada dan apa yang perlu dinaiktarafkan (pesawat),” katanya.

Mengulas mengenai persiapan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) Mohamad berkata kementeriannya telah menjemput enam negara bagi menyertai pertunjukan statik dan udara.

“Dua negara telah mengesahkan untuk terlibat pertunjukan berkenaan. Setakat ini, 80 peratus pempamer telah mengambil bahagian untuk menyertai LIMA’23 yang merupakan satu pertunjukan udara dan maritim yang terbesar. Maka kita perlu meneruskannya kerana kali terakhir ia diadakan pada 2019,” katanya.

Katanya LIMA’23 memberi peluang kepada Kementerian Pertahanan dan ATM melihat aset-aset pertahanan dari luar negara selain bertemu pihak diplomasi strategi pertahanan.

LIMA’23 dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei ini yang akan disertai lebih 600 syarikat pempamer daripada industri pertahanan tempatan dan antarabangsa dan dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 delegasi. – Bernama, 10 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen