Selamat hari lahir Fatimah 


Faisal Tehrani

TIDAK lama lagi, kita akan menyambut hari kelahiran Fatimah Zahra, puteri Rasulullah saw. Tidak ramai dalam kalangan kita yang mengenal Fatimah Zahra. Kita misalnya mengetahui Fatimah adalah penghulu wanita di syurga. Akan tetapi tidak ramai antara kita yang benar-benar faham mengapa beliau dilantik atau terlantik sebagai penghulu di sorgaloka kelak. Ada sebab-sebabnya dan saya telah berusaha merungkai musababnya dalam sebuah rencana.

Orang Melayu, satu masa dahulu sangat mengenali Fatimah Zahra. Ada banyak tempat dalam seni dan budaya yang Fatimah diraikan, ini juga pernah saya catatkan. Saya ikut menulis mengenai Fatimah dalam bahagian kehidupan orang Melayu di sebuah portal.

Kali ini saya ingin berkongsikan posisi Fatimah lagi. Suatu masa dulu, orang Jawa khususnya menjadikan kesaksian terhadap Fatimah sebagai sebahagian dari syahadah. Hal ini terbukti menerusi salah satu manuskrip yang menyimpan kesaksian atau syahadat, seperti terakam dalam manuskrip L.Or. 5614. Ia disimpan di “Koleksi Khusus” Perpustakaan Universiti Leiden dan  menjadi koleksi perpustakaan tersebut sejak awal abad ke-20, iaitu antara tahun 1905 hingga 1917.

Manuskrip “daluwang” – atau dari daun pohon Saeh – ini mengandungi 252 halaman. Terdapat paling tidak dua puluh enam teks. Teks itu dikatakan sangat beragam; yakni ada doa-doa, tatakelola Kesultanan Cirebon, persoalan fikah, tafsir Quran, “talqin” jenazah, azimat, hingga khutbah. Lebih seru ialah teks-teks ini dicoret dalam aneka bahasa merangkumi bahasa Jawa, Sunda, dan Arab. Semua teks diloret dengan aksara Arab (Jawi).

Pada helai atau halaman kedua, terdapat teks “Syahadat Fatimah” dan dilorek dengan bahasa Jawa. “Syahadat Fatimah” mengajarkan yang dua kalimat syahadah bagi seseorang muslim tidaklah memadai dengan perakuan tiada tuhan kecuali Allah dan Nabi Muhammad adalah utusan-Nya. Bahkan terdapat komponen lain syahadah iaitu kesaksian bahawa Fatimah adalah puteri Rasulullah saw yang memiliki kedudukan sangat mulia.

Transliterasi dari teks tersebut dalam bahasa Jawa kuno tertera:

Punika syahadat Fatimah lamun ora weruh wong lanang lan wong wadon iya iku durung shahadate [teks rosak] imane wong, iyo iku shahadate: Ashhadu an la ilaha illallah wa asyhhadu anna fatimatan zahra al-karim binti Muhammad rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallama. anegesi i(ng)sun setuhune ora ana Pengeran anging Allah; anegesi i(ng)sun setuhuhe dewi Fatimah iku hingkang mulya puterane wadon Nabi Muhammad shallallahu ‘alayhi wa sallama.

Terjemahannya berbunyi:

“Ini adalah “Syahadat Fatimah”. Apabila seorang lelaki atau perempuan belum mengetahui syahadat ini maka dia belum dianggap bersyahdat dan [teks rosak] imannya. Berikut adalah syahadatnya: Aku bersaksi bahwa tiada tuhan melainkan Allah. Dan aku bersaksi bahwa Fatimah az-Zahra adalah yang mulia, puteri Nabi Muhammad saw.”

Kesaksian terhadap Fatimah dengan itu sangat bermakna dan bukan sekadar simbolik. Saya tidak pasti jika ada mana-mana komuniti Jawa di Malaysia yang mengetahui hal ini. Akan tetapi terdapat komuniti Jawa yang saya temukan di Indonesia di awal penyelidikan saya mengenai Syiah di Alam Melayu mengakui ‘pernah mendengar’ perihal syahadah Fatimah ini meski tidak pernah dapat membuktikan keabsahannya.

Perakuan Fatimah adalah berkedudukan mulia bukan sesuatu yang boleh diremehkan. Ini bermakna Islam atau tidaknya seseorang sangat tergantung kepada makrifatnya mengenai Zahra.

Jika syahadah dapat menyelamatkan seseorang tatkala matinya kelak, tidak kehairanan jika nama Fatimah diganding dengan Rasulullah saw, kekasih-Nya. Fatimah pula adalah kekasih Nabi Muhammad. Maka mereka saling terkait.

Jika umat Jawa meletakkan kedudukan tinggi buat Fatimah, orang Minang juga tidak kurang kalahnya dalam meratukan kedudukan Fatimah Zahra.

Hal ini misalnya dapat ditemukan dalam manuskrip Nazam Ratap Fatimah, sebuah manuskrip Minangkabau yang memperihalkan tiga poin: pertama, tentang Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad saw yang meratap ditinggal oleh ayahnya; kedua, tentang kejadian di akhirat; dan ketiga, tentang ajaran yang harus diyakini umat Islam agar selamat di akhirat. Manuskrip ini adalah berbentuk nazam.

Nazam adalah puisi tradisional Melayu yang dipengaruhi sastera Parsi. Ia bersifat naratif dan berima silang (bersajak abab) atau berima datar (bersajak aaaa). Setiap baitnya terdiri daripada empat baris. Semua baris dalam satu bait adalah isi, tiada pembayang seperti pantun. Selalunya nazam membicarakan topik ibadat, syurga, neraka, ajal, amal, nabi dan malaikat.

Nazam sering dikumandangkan dengan lagu dan irama yang khas di majlis keagamaan. Nazam biasa dilantunkan di rumah khusus di Pariaman, Sumatera Barat. Manuskrip ini dipercayai disalin oleh Angku Bilal di daerah Jorong Supanjang, Nagari Cubadak, Kecamatan Lima Kaum, Kabupaten Tanah Datar, Sumatra Barat, pada tahun 1960.

Cuma di Supanjang, nazam ini cuma dibaca dan tidak dilagukan. Ia dibaca di rumah yang ada kematian ahli keluarganya (dirujuk dalam tradisi Minang sebagai rumah duka), dengan irama ratap. Ia kemudiannya menjadi tradisi meratap di rumah duka.

Dalam bahasa Minang, ratap disebut ratok maka meratap dirujuk sebagai maratok. Orang Minang tidak kekok meratap kerana kebiasaan umat Minangkabau itu adalah merantau. Mereka di perantauan itu selalu tidak segan silu untuk meluahkan rasa sedih, kehilangan dan rindu pada orang atau tempat yang ditinggalkan.

Dalam erti kata lain, memang Minang menganjurkan untuk bersedih-sedih maka tidaklah aneh jika dalam kematian terdapat tradisi maratok ini.

Ada banyak bukti peristiwa sejarah orang Minang maratok sepertinya Ratok Bagindo Suman yang terdapat di Rao, Pasaman Timur, Sumatra Barat. Tradisi Ratok Bagindo Suman ini bermula dari kesedihan ibu yang ditinggal mati oleh anaknya, Bagindo Suman yang merupakan askar dari Rao, Pasaman, ketika pecah Perang Padri. Suman meninggal dunia, kerana dihukum gantung oleh Belanda.

Ratok Bagindo Suman ini berkisah tentang dukanya seorang ibu, yang menceritakan perjalanan hidup Bagindo Suman sejak anak sehingga menjadi seorang pahlawan. Rekod menyatakan ratok ini diketengahkan seraya histeris.

Dalam Nazam Ratap Fatimah ada bait sedih misalnya, berbunyi:

Laa ilaaha illallaah ayah kandungku
kemana anak pergi mengadu
umat nan tinggal jadi keliru
apabila lagi akan bertemu (dari bait kedua).

Laa ilaaha illallaah Tuhan habibi 
Junjungan tidak tinggal di bumi
Sudah dibawa Tuhan illahi
Umat nan tinggal berduka hati (dari bait ketiga).

Laa ilaaha illallaah ayah kandung badan 
Turun firman daripada Tuhan
Mengucap anak ayah tinggalkan
Jikalau sudah ayah pergantungkan (dari bait keenam belas).

Laa ilaaha illallaah tempat memuji 
Disebut jua petang dan pagi
Batin pituah ayah kandung kami
Kepada Nur bermohon diri (dari bait ketujuh belas).

Fatimah adalah salah seorang daripada anggota ahlul bait yang dibersihkan oleh Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa. Nazam di atas membuktikan lagi kedudukan Fatimah yang sangat sentral dalam Islam rantau ini.

Sesetengah pengkaji berani menyatakan, hal di atas menjadikan bukti wujudnya elemen syiah yang kuat dalam masyarakat Melayu. Akan tetapi sejak ketibaan Kaum Muda dan kemudian kaum Salafi-Wahabi, bukti-bukti seumpama di atas semakin terhakis dan tidak lagi dipedulikan.

Sehinggalah hari ini, wiladah atau hari kelahiran Fatimah yang merupakan kesaksian kepada amalan beragama tidak lagi disambut dan dikenal orang.

Selamat hari lahir Fatimah Zahra, wanita yang disambut dan diletak sebagai ratu di syurga. Jika kita mengingin syurga, mengapa tidak kita merendah diri mengenal baginda? – 10 Januari, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen