BANK Pembangunan Islam (IDB) memberi komitmen berjumlah AS$4.2 bilion untuk membantu Pakistan dalam usaha pemulihan pasca banjir di negara itu.
Ikrar itu dibuat pada Persidangan Antarabangsa mengenai Daya Tahan Iklim Pakistan di Geneva semalam.
Kumpulan IDB yang berpangkalan di Jeddah itu berkata bank itu akan menyediakan pembiayaan AS$4.2 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menyokong Pakistan untuk meningkatkan daya tahan iklimnya.
“Kami komited untuk membangunkan infrastruktur hijau, berdaya tahan dan mampan serta menggalakkan kemajuan inklusif dan mampan,” katanya.
Persidangan itu yang dihoskan bersama oleh kerajaan Pakistan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengambil maklum bahawa Pakistan memerlukan AS$16 bilion untuk menangani kesan banjir besar pada musim panas lepas yang menjejaskan 33 juta orang dan meragut sekurang-kurangnya 1,730 nyawa.
Pakistan meminta separuh daripada jumlah itu daripada penderma antarabangsa.
Komitmen yang diterima daripada agensi pelbagai hala dan pelbagai negara berjumlah lebih AS$9 bilion.
Bank Dunia menjanjikan AS$2 bilion, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia menawarkan AS$1 bilion dan Arab Saudi akan menyediakan AS$1 bilion, kata Menteri Penerangan Pakistan Marriyum Aurangzeb.
Komitmen berjumlah ratusan juta dolar juga dibuat oleh Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Amerika Syarikat.
Banjir yang belum pernah berlaku seumpama itu sebelum ini memusnahkan 2.2 juta rumah, 4.4 juta ekar tanaman, 8,000 kilometer jalan raya dan kira-kira 440 jambatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kos untuk membantu mereka yang terjejas oleh bencana dijangkakan melebihi AS$16 bilion, dan lebih banyak lagi akan diperlukan dalam jangka panjang, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres semalam. – Bernama, 10 Januari, 2023.
Komen