Singapura dapat 900 kuota untuk musim haji 2023


Singapura dapat peruntukan 900 kuota rasmi bagi musim haji 2023 yang dijadualkan pada Jun ini. – Gambar EPA, 10 Januari, 2023.

SINGAPURA mendapat peruntukan 900 kuota rasmi bagi musim haji 2023, umum Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam republik itu, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dalam hantaran terkini di Facebooknya, menteri itu berkata beliau dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah menandatangani Perjanjian Haji bagi Singapura sebagai persediaan menghadapi musim haji 2023 pada Jun.

Masagos kini berada di Arab Saudi atas undangan Dr Tawfiq untuk menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah.

“Ibadah haji merupakan rukun Islam yang penting dan ramai umat Islam di seluruh dunia termasuk jemaah haji Singapura kita tidak sabar untuk menunaikan ibadah haji.

“Walaupun kami ingin mendapatkan lebih banyak tempat untuk haji, kami mohon anda faham bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan pihak berkuasa Haji dan Umrah di Arab Saudi mengutamakan kesihatan, keselamatan serta kemaslahatan para jemaah,” katanya.

Dalam mesyuarat dua hala, Dr Tawfiq meyakinkan beliau dan pasukannya memahami aspirasi mendalam bakal jemaah haji dan akan menyemak permintaan Singapura untuk menerima lebih banyak peruntukan kuota haji.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau dan kami berdua bersetuju untuk terus bekerja rapat bagi membantu lebih ramai jemaah haji Singapura menunaikan haji pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata Majlis Ugama Islam Singapura atau Muis akan bekerja rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Ejen Penjualan Pakej Haji dan Umrah (GSA) Singapura untuk pakej musim haji 2023. – Bernama, 10 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen