Presiden Brazil janji kenal pasti pihak ceroboh bangunan kerajaan 


Dalam insiden keganasan di Brasilia pada Ahad, penyokong bekas presiden sayap kanan Jair Bolsonaro menggeledah bangunan Kongres Nasional sebelum bergerak ke Mahkamah Agung dan istana presiden Brazil. – Gambar AFP, 10 Januari 2023.

PRESIDEN Brazil Luiz Inácio Lula da Silva berjanji untuk mengenal pasti dan mempertanggungjawabkan mereka yang terlibat menceroboh bangunan kerajaan di Brasília Ahad lepas, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Beribu-ribu perusuh yang enggan mengakui kekalahan bekas presiden sayap kanan Jair Bolsonaro dalam pilihan raya baru-baru ini, menyerbu Kongres, Mahkamah Agung dan istana presiden Brazil pada Ahad.

 Bolsonaro tidak membuat kenyataan umum secara jelas mengakui kekalahannya dalam pilihan raya berkenaan.

“Atas nama mempertahan demokrasi, kerajaan tidak akan bersikap ‘autoritarian’ atau ‘sederhana’ dalam menangani pelakunya. 

“Kami akan menyiasat perkara ini dan mencari orang yang membiayai (serbuan itu),” kata Lula di televisyen Brazil selepas mesyuarat keselamatan bersama lebih 20 gabenor di Brasília pada Isnin.

Kira-kira 1,500 orang kini ditahan sementara berikutan peristiwa Ahad.

Dalam insiden keganasan di Brasilia, penyokong Bolsonaro menggeledah bangunan Kongres Nasional sebelum bergerak ke Mahkamah Agung berhampiran dan Palácio do Planalto. Pasukan keselamatan mengambil masa beberapa jam untuk mengawal semula kawasan itu.

Beribu-ribu orang turun ke jalan raya di Rio de Janeiro dan Sao Paulo pada Isnin untuk membantah rusuhan itu. – Bernama, 10 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen