Biden pelawa presiden Brazil lawat AS susulan keganasan


Presiden AS Joe Biden akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada awal Februari. – Gambar EPA, 10 Januari, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan menerima kunjungan rakan sejawatannya dari Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada awal Februari, lapor Xinhua.

Lawatan Lula da Silva atas jemputan Biden itu bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan “rundingan mendalam mengenai agenda bersama”, memetik kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam susulan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.

Dalam perbualan itu, Biden “mengutuk keganasan dan serangan ke atas institusi demokrasi dan peralihan kuasa secara aman” yang disaksikan dunia di Brasilia, ketika sekumpulan penyokong bekas Presiden Jair Bolsonaro menyerbu istana presiden, kongres. bangunan dan Mahkamah Agung pada Ahad.

Sehingga semalam, lebih 1,000 tangkapan dibuat berhubung keganasan itu, menurut kemas kini oleh Menteri Kehakiman Brazil Flavio Dino.

Penyokong Bolsonaro melakukan protes ekoran kekalahan bekas presiden itu kepada Lula da Silva dalam pilihan raya presiden pada Oktober. Bolsonaro tidak menghadiri upacara pelantikan penggantinya pada 1 Januari dan kini berada di Florida AS dan dilaporkan dimasukkan ke hospital.

Pada taklimat akhbar harian, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price enggan mendedahkan jenis visa yang digunakan Bolsonaro untuk memasuki AS.

Walaupun “institusi demokrasi Brazil mendapat sokongan penuh kami”, kata Price, AS belum menerima sebarang permintaan untuk memperoleh maklumat atau tindakan dari Brazil berhubung siasatan ke atas serangan pada Ahad. – Bernama, 10 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen