Wanita Greece didakwa bunuh anak guna ketamin


Roula Pispirigou, 34, yang  dikawal ketat pasukan keselamatan, didakwa di mahkamah di Athens, Greece atas tuduhan pembunuhan terancang atas kematian anaknya. – Gambar AFP, 10 Januari 2023.

SEORANG wanita dibicarakan di mahkamah di Athens, Greece semalam atas tuduhan membunuh anaknya menggunakan ketamin, kes yang mencetus kegemparan di negara itu.

Roula Pispirigou, 34, yang  dikawal ketat pasukan keselamatan, didakwa atas tuduhan pembunuhan terancang.

Wanita itu menafikan tuduhan ke atasnya.

Pispirigou didakwa meracun anak perempuan sulungya Georgina, 9, pada Januari tahun lalu dengan memberikan kanak-kanak itu ketamin. 

Georgina ketika itu sedang menerima rawatan di hospital akibat kuadriplegia iaitu lumpuh anggota tubuh, selepas diserang sawan pada April 2021. Ujian ke atas tisu otot kanak-kanak itu  mendedahkan kewujudan ketamin, sejenis ubat bius anestetik, walaupun ia tidak diberikan doktor.

Pispirigou ditahan pada Mac tahun lalu.

Susulan penahanannya, pihak berkuasa mula menyiasat kematian dua lagi anak perempuan tertuduh – Malena, 3, yang meninggal dunia akibat pada 2019 dan Iris, 6 bulan, yang meninggal dunia pada 2021.

Hasil pemeriksaan forensik mendapati dua kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat sesak nafas. Pispirigou kemudian didakwa atas kematian dua anaknya itu.

Pada perbicaraan semalam, hakim menolak permohonan peguam Pispirigou untuk menggabungkan ketiga-tiga kes kematian anak tertuduh. – AFP, 10 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen