ICRC tubuh biro kesan orang hilang dalam konflik Ukraine 


JAWATANKUASA Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menubuhkan biro khas yang bertanggungjawab mengesan orang hilang dalam konflik Ukraine, pertama kali sejak Perang Dunia II, kata jurucakap ICRC di Kyiv, Achille Despres kepada Sputnik.

“Mengekalkan hubungan keluarga semasa perang merupakan misi utama ICRC sejak penubuhan kami,” kata Despres. “Dan untuk konflik antarabangsa tertentu ini, kami menubuhkan biro agensi pengesanan pusat, (dan) kali pertama kami lakukan sejak Perang Dunia Kedua.”

Beliau berkata prosesnya serupa dengan sistem mengisi kad dan menghantarnya ke Palang Merah semasa Perang Dunia I dan II – kecuali ia kini didigitalkan.

Mereka yang mempunyai saudara atau orang tersayang yang hilang, boleh menghubungi biro ICRC dan memfailkan permintaan. ICRC akan menyemak sistemnya berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak yang terlibat dalam konflik. Organisasi tidak boleh mengesahkan maklumat daripada media sosial kerana ia boleh menjurus kepada manipulasi atau maklumat salah.

Biro khas itu ditubuhkan pada Mac 2022 dan setakat ini telah menerima kira-kira 50,000 pertanyaan. ICRC yang mempunyai pasukan di Geneva yang mengendalikan pusat panggilan yang membolehkan orang ramai menghubungi orang tersayang mereka, menerima 800 panggilan sehari.

Jurucakap ICRC berkata organisasi itu setakat ini telah menghubungi orang ramai 4,000 kali melalui e-mel atau melalui telefon, mengatakan mereka tahu di mana orang yang mereka sayangi berada.

Pada 1 Januari, Presiden ICRC Mirjana Spoljaric mengumumkan beliau akan melawat Rusia dan bertemu dengan pihak berkuasa Rusia. Lawatan itu dibuat selepas kunjungan empat harinya ke Ukraine untuk bertemu orang awam dari wilayah Mykolaiv dan Kherson. – Bernama, 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen