POLIS menahan seorang lelaki warga Myanmar yang disyaki terbabit dengan kes penemuan mayat seorang lelaki di sebuah kandang ternakan di Selaru, Dangi, Kuala Pilah, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Gani berkata mayat lelaki berumur 26 tahun itu ditemukan majikannya di ladang berkenaan kira-kira pukul 3 pagi dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah menerima panggilan daripada seorang lelaki iaitu penternak haiwan, yang melaporkan seorang pekerjanya warga Myanmar ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kandang miliknya di Selaru,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul dan polis menemui kayu dipercayai digunakan dalam kes itu di lokasi kejadian.
Katanya susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Pilah menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 21 tahun yang merupakan sepupu mangsa, ketika cubaan melarikan diri di tepi Jalan Selaru, tidak jauh dari tempat kejadian.
“Turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak. Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam,” katanya, dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat. – Bernama, 9 Januari, 2023.
Komen