ISU kewarganegaraan anak wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing di luar negara akan ditangani jawatankuasa khas, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nastution.
Ia selari dengan proses pindaan perlembagaan yang dimulakan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkaitan isu itu, katanya.
“Seawal saya masuk ke KDN, saya akan memudahkan proses permohonan kewarganegaraan secara menyeluruh termasuk kes yang tertangguh sebelum ini tanpa kompromi kepada aspek keselamatan negara.
“Saya sahkan hal yang diumumkan oleh Azalina dan jawatankuasa akan memberi perhatian kepada isu berkenaan juga,” katanya pada sidang media di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya.
Tambahnya, kertas kerja yang disiapkan jawatankuasa khas itu akan dibawa ke jemaah menteri pada bulan depan.
Proses pindaan itu bagi membolehkan kanak-kanak dalam kes tersebut mendapat hak kerakyatan, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.
Pindaan itu secara khusus melibatkan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, kata Azalina pada minggu lalu.
Pada masa sama, kerajaan akan meneruskan rayuan dalam kes yang sedang berlarutan di mahkamah melibatkan kerakyatan anak dilahirkan di luar negara.
“Kerajaan kalah di peringkat Mahkamah Tinggi dan menang di Mahkamah Rayuan. Kita perlu biarkan kes ini melalui proses perundangan yang betul.
“Sementara kes ini berjalan di Mahkamah Persekutuan, itu tidak akan halang kerajaan baharu untuk melihat pindaan perlembagaan dalam isu kewarganegaraan.
“Saya fikir kes ini tidak ada kesan dari sudut rancangan kami untuk ke arah isu kewarganegaraan dalam undang-undang yang perlu kita tambah baik,” katanya.
Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu membuat keputusan ke atas dua kes melibatkan kelahiran anak wanita di luar negara hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing.
Salah satu kes melibatkan saman enam wanita diwakili Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) bagi hak kerakyatan anak mereka.
Satu kes lagi melibatkan seorang wanita yang dilahirkan di India, Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, yang mahu mendapatkan deklarasi sebagai warganegara Malaysia.
Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu memberi kebenaran bagi plaintif dalam kedua-dua kes itu untuk meneruskan rayuan.
Ia turut membenarkan permohonan plaintif membabitkan tiga persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Antara persoalan undang-undang yang dibangkitkan itu sama ada seseorang yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar persekutuan adalah warganegara Malaysia.
Persoalan itu melibatkan kuatkuasa Perkara 14(1)(b) yang dibaca bersama Bahagian II Seksyen 1(b) Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan tiga lagi persoalan undang-undang. – 9 Januari, 2023.
Komen