39 maut, 100 cedera insiden bas bertembung di Senegal


Seramai 39 terbunuh manakala lebih 100 yang lain cedera apabila dua bas bertembung dalam satu kemalangan di wilayah Kaffrine, di tengah Senegal semalam. – Gambar Facebook, 9 Januari, 2023.

SERAMAI 39 terbunuh manakala lebih 100 yang lain cedera apabila dua bas bertembung dalam satu kemalangan di wilayah Kaffrine, di tengah Senegal.

Imej kemalangan itu menunjukkan bahagian hadapan sebuah bas berwarna putih remuk sepenuhnya dengan tempat duduk berlumuran darah serta barangan peribadi dan kasut berselerak di sekitar lokasi kejadian.

Datuk Bandar Kaffrine Abdoulaye Saydou Sow dalam satu kenyataan berkata kemalangan yang berlaku antara 2 hingga 3 pagi waktu tempatan semalam, dikatakan berpunca daripada tayar pecah.

Beliau berkata bilik mayat Kaffrine sesak dan mayat sedang dihantar ke bilik mayat lain di Kaolack, sejauh 65 kilometer.

Punca kemalangan jalan raya di Senegal sering dikaitkan dengan kesilapan pemandu, keadaan jalan raya yang teruk dan kenderaan uzur.

Bagaimanapun, tragedi terbaru di lebuh raya di luar Kampung Sikilo itu yang terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bercakap kepada media selepas melawat lokasi nahas itu dan mangsa di hospital di bandar kaffrine, Presiden Senegal Macky Sall membetulkan kenyataan sebelum ini yang menyatakan kematian mencecah 40 mangsa dan ia disebabkan salah kira di rumah mayat.

“Kita merasakan kepedihan dan kesedihan atas kematian 39 mangsa dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kaffrine ini.

“Kita kehilangan ramai anak muda dalam kemalangan ini dan esok perdana menteri akan mengadakan perbincangan membabitkan industri pengangkutan – kenderaan, syarikat insurans, perkhidmatan keselamatan – bagi melihat langkah yang perlu diambil,” kata Sall.

Kerajaan Senegal turut mengumumkan tiga hari perkabungan negara bermula hari ini dengan bendera dikibarkan separuh tiang di seluruh negara. – AFP, 9 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen