Tempias Langkah Kinabalu ke Putrajaya


G Manimaran

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata keadaan di Sabah masih terkawal dan kerajaan negeri tidak terjejas ketika ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2023.

PANGGILAN yang berkait rapat dengan politiking yang menyasarkan matlamat mahu merebahkan kerajaan berdasarkan perhitungan nombor berterusan. Dan, pastinya ia akan berterusan sehingga boleh menggugat mandat semasa.

Kini, usaha sedemikian muncul sebagai sebagai norma baharu politik Malaysia, dan jangan terkejut, ia bakal diterima sebagai norma baharu meskipun sudah ada kerangka perundangan yang melarang perbuatan lompat parti.

Di peringkat negeri, hanya beberapa kerajaan yang mengambil langkah ke arah mematahkan tindakan keluar parti selepas menjadi wakil rakyat. Daripada segi lebih luas, undang-undang itu belum cukup wajah untuk mencapai matlamat besar yang disasarkan.

Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selaku ketua kerajaan perpaduan, memberi respons yang nampak konkrit berbanding kenyataan terdahulu, bahawa beliau akan memberi perhatian khusus kepada situasi politik di Sabah sebaik pulang dari lawatan kerja ke Indonesia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menarik perhatian keadaan di Sabah masih terkawal dan kerajaan negeri tidak terjejas ketika ini.

Anwar, presiden PKR juga dipetik media berkata beliau sudah bercakap sendiri dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, manakala Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula berbincang dengan Pengerusi BN Sabah dan Timbalan Ketua Menteri Bung Moktar Radin.

Dua hari lalu, Anwar berkata: “Saya tidak fikir apa-apa yang berlaku setakat ini cuma ada pemakluman ada beberapa isu saya minta ketua menteri bincang secara baik dengan rakan-rakan di Sabah.”

Di tengah-tengah kita disajikan dengan cakap-cakap sudah ada “Langkah Jakarta” dan “Langkah London”, kemelut Negeri Di Bawah Bayu, pula mencuri perhatian. Ia mengembalikan momen krisis politik September 2020 dan Mei 2018.

Meskipun ada autonomi untuk Umno untuk menguruskan isu dalaman, dan ketika parti politik Sabah juga sudah mula mengambil langkah sebagaimana disaksikan di negeri jiran, Sarawak, iaitu membuka laluan yang lebih luas kepada parti lokal, isu semasa ini tetap menarik perhatian.

Di peringkat Semenanjung, ketenangan politik di Melaka, yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut 14 bulan yang lalu, juga mencuri perhatian. Penjelasan aktor utama pada Sabtu lalu menawarkan “ubat sementara” untuk sementara waktu ini.

Dalam mencari penyelesaian di Sabah, campur tangan kepimpinan pusat, terutama Anwar, tidak dapat dielakkan. Sama ada suka atau tidak, Anwar perlu menawarkan formula untuk menyelesaikan kemelut di Sabah.

Pada masa sama kepimpinan kerajaan pusat itu perlu mengambil langkah berhati-hati dalam mencari penyelesaian. Sebahagian besar setiap kesan dan impak kemelut terkini di Sabah akan membawa tempias ke atas kedudukan di Putrajaya.

Masing-masing komponen dan rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang lahir susulan PRN, juga mengejut, Sabah pada September 2020, mempunyai alasan, penjelasan dan sebab punca yang membawa kepada konflik politik pada hari ini.

Menurut Shafie, krisis politik yang melanda Sabah ini adalah berpunca daripada tindakan Hajiji sendiri. Beliau berkata tindakan itu sebagai usaha untuk Hajiji mengekalkan jawatannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN) gagal membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Hajiji juga memberikan penjelasan beliau, di samping mengadap Yang Dipertua Negeri. Begitu juga Bung yang mengadakan perbincangan dengan kepimpinan pusat, yang disiarkan menerusi laman sosial beliau.

Gelora politik negeri ketika peringkat pusat tenang juga bukan sesuatu yang baharu. Kedah pernah menyaksikan keadaan yang sama, hampir tiga dekad lalu. Di Sabah juga ini bukan kali pertama. Perak melalui keadaan yang sama dua tahun lalu.

Jadi, apakah impak kepada kerajaan pusat pada hari ini, yang berusia kurang dua bulan? Apakah kemelut Sabah juga diakibatkan perkembangan peringkat pusat?

Dan, sejauh mana perkembangan di Sabah akan memberikan kesan pelbagai sudut kepada kerajaan perpaduan?

Tidak dapat dinafikan krisis politik Sabah akan membawa impak besar ke atas pentadbiran pusat. Selain persepsi rakyat ke atas kebolehpimpinan pusat dalam menyelesaikan isu berbangkit ini, ia juga akan menyebabkan kesan ke atas hubungan politik antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan. Sesungguhnya ia tidak molek untuk perjalanan politik yang bersifat jauh lagi solid.

Lagi pantas kepimpinan pusat bertindak menyelesaikan krisis Sabah lagi baik untuk menjamin masa depan kerajaan perpaduan ketika semua parti sudah mula bersiap sedia untuk menghadapi enam pilihan raya negeri, yang boleh diadakan pada Februari-Mac atau selepas sambutan Aidilfitri, sementara “langkah-langkah” yang terus diperkatakan masih segar.

Sabah dan Sarawak perlu tenang untuk kekalkan ketenangan di pusat. – 9 Januari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen