Bot bawa hampir 200 pelarian Rohingya mendarat di Aceh


Bot yang membawa hampir 200 pelarian Rohingya itu mendarat di Aceh, Indonesia semalam– Gambar AFP, 9 Januari 2023.

BOT kayu membawa hampir 200 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mendarat di pantai barat Indonesia semalam, kata polis.

Sehingga kini lima bot membawa pelarian Rohingya mendarat di Indonesia sejak November lalu, menurut pihak berkuasa negara itu.

Ketua polis tempatan Irwan Fahmi Ramli berkata bot semalam mendarat kira-kira 2:30 petang waktu tempatan di pantai Aceh, membawa 69 lelaki, 75 wanita dan 40 kanak-kanak.

“Seorang wanita hamil dan empat orang sakit.

“Beberapa orang doktor akan melakukan pemeriksaan kesihatan awal ke atas pelarian-pelarian ini, terutamanya mereka yang sakit,” kata Ramli.

Kebanyaka pelarian Rohingya semalam adalah wanita dan kanak-kanak. – Gambar AFP, 9 Januari 2023.

Tambah beliau kesemua pelarian itu akan dipindahkan ke sebuah bangunan kerajaan tempatan.

Menurut salah seorang penumpang, bot kayu berkenaan berlepas dari Bangladesh pada 10 Disember lalu.

“Kami sungguh lega kerana berjaya tiba di sini. Enjin kami rosak dan kami tiada apa-apa untuk dimakan,” kata Fairus, 26, kepada pemberita.

Dianggarkan sejuta orang Rohingya tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh selepas melarikan diri daripada penindasan di Myanmar pada 2017. 

Empat bot mendarat di Indonesia pada November dan Disember lalu, membawa lebih 400 pelarian Rohingya. – AFP, 9 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen