Indonesia sentiasa diberi keutamaan oleh Malaysia, kata Anwar


Anwar dan isterinya tiba di Indonesia, hari ini. – Gambar PMO, 8 Januari, 2023.

MALAYSIA sentiasa memberi keutamaan kepada Indonesia dalam hubungan dua hala, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Indonesia menerima saya sebagai sahabat sejati, jadi saya tidak melupakan,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan Surat Hasrat dan pertukaran memorandum persefahaman antara syarikat Malaysia dan Indonesia di Jakarta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan memilih Indonesia sebagai negara pertama kunjungan rasminya setelah menyandang jawatan Perdana Menteri pada 24 November lepas.

“Indonesia itu jiran, serumpun, persahabatan baik, sahabat sejati dalam keadaan saya terlempar, terbuang, tersisih,” katanya.

Anwar dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Indonesia hari ini bagi lawatan rasmi selama dua hari.

Esok beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo atau lebih mesra dipanggil Jokowi di Istana Bogor, Jawa Barat, kira-kira 54 kilometer dari Jakarta Selatan.

Ditanya mengenai agenda pertemuannya dengan Jokowi, Anwar berkata ada 12 perkara yang disenarai untuk dibincangkan namun beliau enggan mengulas lanjut.

Anwar diiringi Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Adlan Mohd Shaffieq. – Bernama, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen