Tunggu RoS sahkan status Bersatu Sabah dalam GRS, kata Hamzah


Hamzah mengadakan perjumpaan khas bersama kepimpinan Bersatu Sabah hari ini di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee. – Gambar Facebook Hamzah Zainudin, 8 Januari, 2023.

BERSATU masih menunggu pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status Bersatu Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berkata ini susulan tindakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Hajiji Noor keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kepimpinan Bersatu Sabah hari ini di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah.

Disember tahun lepas, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan keluar Bersatu Sabah selepas mengambil pertimbangan landskap politik negara ketika itu.

Hamzah juga berkata Bersatu Sabah masih lagi relevan di negeri itu berdasarkan keahlian parti selain kini sedang menstruktur semula kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian.

Ditanya adakah Bersatu masih menyokong Hajiji walaupun pemimpin berkenaan sudah tidak bersama parti itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata perkara itu adalah hal dalaman antara Hajiji dan Bersatu.

“Itu masalah kami. Masalah dalaman,” katanya.

Hamzah juga berkata Perikatan Nasional mahupun Bersatu tidak mahu merosakkan kepimpinan Sabah sedia ada meskipun ada beberapa bekas Adunnya yang ditemui menyatakan hati mereka masih lagi ingin bersama parti itu. – Bernama, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen