Isu air Selangor: Splash tidak peka dengan kesusahan rakyat


MUSIBAH di Selangor pada hujung minggu lepas apabila sistem mampatan udara di loji Air pecah. Syarikat yang bertanggungjawab menyelia dan membekal air bersih kepada Rakyat ialah Splash yang mana Tan Sri Rozali memegang saham terbesar.

Akibat dari kerosakan ini seramai 500,000 pengguna yang juga rakyat Selangor menderita tidak mendapat bekalan air selama seminggu. 

Yang menjadi pertikaiannya sekarang Splash seolah tidak menyelia atau memantau segala peralatan atau bahan bahan yang sedia ada dari semasa ke semasa. Buktinya bagaimana sistem mampatan air yang sebesar itu boleh pecah. Di mana keseriusan pihak Splash memantau perlatan sebegini?

Apakah Splash hanya mementingkan keuntungan sahaja tanpa menitikberatkan soal kualiti dan keselamatan keseluruhan loji. Perlu diingat air adalah satu keperluan paling utama bagi manusia. Apabila sumber air bermasalah rakyat juga lah yang akan merasa deritanya.

Agak malang jika Splash ini hanya melihat kepada keuntungan semata mata tetapi tidak menghargai setiap sen yang rakyat bayar semata mata untuk mendapatkan air bersih. 

Ketika proses membaik pulih peralatan selama seminggu ini, di mana usaha pihak Splash membantu kerajaan negeri menyalurkan bantuan? Mana jadual penghantaran air yang sistematik? Kekerapan penghantaran bantuan air apakah memenuhi keperluan rakyat? Di Shah Alam misalnya, premis perniagaan seperti restoran banyak yang terpaksa menutup sementara perniagaan kerana ketiadaan air. Mereka juga menanggung kerugian akibat masalah ini. Apa tindakan Splash dalam menangani isu ini? 

Dalam masa yang sama ada pula segerombolan manusia mewakili parti tertentu cuba menangguk di air keruh. Menyalahkan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan adalah satu langkah yang sangat tidak bijak. 

Splash adalah dimiliki oleh kawan kawan mereka juga. Sangat tidak wajar Umno BN mengambil kesempatan menyalahkan kerajaan negeri. Sepatutnya mereka membantu rakyat mendapatkan bekalan air, bukan poligam di lori tangki air dengan menunjukkan botol air sahaja! 

Saya menyeru agar penstrukturan semula air di Selangor dipercepatkan dan diserah semula kepada kerajaan negeri Selangor. Sudah berpuluh juta pemilik Splash ini menjana keuntungan di atas jerih perit rakyat. Tiba masanya diserahkan kesemuanya kepada kerajaan Selangor dan saya yakin kerajaan negeri mampu memberi sumber air ini dengan lebih baik kepada rakyat. 

*  Abbas Azmi merupakan Ketua Pemuda Amanah Selangor.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ni sabotaj

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan