17 maut, 22 cedera nahas jalan raya di China


SERAMAI 17 individu terbunuh manakala 22 lagi cedera dalam satu kemalangan jalan raya di wilayah Jiangxi di timur China.

Menurut laporan CCTV, kemalangan itu berlaku kira-kira 1 pagi waktu tempatan di daerah Nanchang, dengan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Kemalangan itu menyebabkan 17 kematian dan 22 lagi cedera dan dibawa ke hospital,” lapor agensi berita CCTV, memetik pihak berkuasa tempatan.

Kira-kira satu jam selepas berita itu disiarkan, polis trafik Nanchang mengeluarkan panduan perjalanan kepada pemandu, dan memaklumkan daerah itu sedang dilanda cuaca berkabus.

“Jarak penglihatan untuk pemanduan amat terhad. Situasi ini boleh menyebabkan nahas jalan raya dengan mudah.

“Sila beri tumpuan pada lampu kabut. Perlahankan kenderaan dan pandu berhati-hati, kekalkan jarak yang selamat dengan kereta hadapan, elak pejalan kaki, jangan mengubah laluan dan memotong,” katanya.

Insiden nahas jalan raya kerap berlaku di China akibat kekurangan kawalan keselamatan jalan raya yang ketat.

Bulan lalu, seorang individu maut dalam insiden nahas lebih raya di tengah China, yang membabitkan ratusan kenderaan dan berpunca daripada jarak penglihatan yang terhad akibat kabus.

Pada 27 September tahun lalu, seramai 27 penumpang maut selepas sebuah bas yang membawa mereka ke fasiliti kuarantin di wilayah Guizhou, terbalik. – AFP, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen