DUA keretapi bawah tanah bertembung di dalam terowong di Mexico City semalam, menyebabkan seorang terbunuh manakala 57 yang lain cedera, kata pihak berkuasa.
Rakaman televisyen menunjukkan penumpang yang cedera dirawat di dalam ambulans susulan kemalangan itu yang berlaku di Garisan 3 Metro utara-selatan.
“Seramai 57 cedera, ada yang cedera ringan, ada yang dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan sementara seorang maut,” kata Datuk Bandar Mexico City Claudia Sheinbaum.
Konduktor keretapi itu antara yang mengalami cedera parah dalam kemalangan yang berlaku di antara stesen Potrero dan La Raza, katanya.
Dilancarkan pada 1969, keretapi Mexico City Metro meliputi perjalanan 226km dengan 195 stesen di 12 landasan.
Pihak berkuasa menganggarkan 837 juta penumpang menggunakan perkhidmatan itu pada 2021.
Bagaimanapun, sistem keretapi bawah tanah itu sering dikritik kerana tidak menjalani penyelenggaraan yang sempurna.
Antara beberapa insiden serius membabitkan perkhidmatan itu ialah jambatan keretapi runtuh pada Mei 2021 menyebabkan 26 maut. – AFP, 8 Januari, 2023.
Komen