PM UK sokong langkah radikal selesaikan krisis penjagaan kesihatan


Sistem perkhidmatan kesihatan UK berdepan krisis kesan mogok kakitangan hospital, isu kenaikan gaji akibat inflasi serta pandemik Covid-19. – Gambar AFP, 8 Januari, 2023.

PERDANA Menteri United Kingdom (UK) Rishi Sunak pada Sabtu menggesa tindakan “berani dan radikal” untuk memperbaharui sistem penjagaan kesihatan negeri yang dilanda krisis ketika beliau mengadakan rundingan kecemasan dengan pemimpin kesihatan.

Selepas bertahun-tahun kekurangan pembiayaan, perkhidmatan kesihatan yang dibiayai oleh kerajaan NHS sedang bergelut untuk memenuhi permintaan rawatan perubatan kecemasan semasa musim sejuk yang amat sukar dengan kadar koronavirus dan selesema yang tinggi.

Kakitangan hospital dan ambulans melancarkan tindakan mogok yang jarang berlaku—dalam kes jururawat, buat pertama kali dalam tempoh 100 tahun—dengan ramai orang awam bersimpati dengan perjuangan mereka.

Jururawat menggesa kenaikan gaji bagi mencerminkan inflasi yang melonjak melebihi 10%.

Selepas dituduh tidak bertindak, Sunak menjadi tuan rumah kepada Ketua Pegawai Perubatan England, Chris Witty,dan Ketua Eksekutif NHS England, Amanda Pritchard di Downing Street pada Sabtu.

Pertemuan itu diadakan sebelum rundingan dirancang antara pegawai kerajaan dan pemimpin kesatuan pada Isnin, yang bertujuan untuk menamatkan mogok.

“Semasa pandemik, kita terpaksa bertindak berani dan radikal dalam cara kita melakukan sesuatu untuk mengharunginya,” kata perdana menteri yang dipetik oleh Downing Street.

“Saya fikir kita memerlukan pendekatan berani dan radikal yang sama sekarang.”

Beliau menambah: “Bersama-sama hari ini, kita boleh memikirkan perkara yang akan membuat perubahan terbesar kepada negara dan keluarga semua orang, dalam jangka pendek dan sederhana.”

Dalam ucapan minggu ini Sunak menetapkan lima keutamaan bagi 2023 termasuk memendekkan senarai menunggu NHS.

Setiausaha Agung Kesatuan Kolej Kejururawatan Diraja, Pat Cullen, memberitahu radio BBC beliau akan menghadiri rundingan pada Isnin dengan Menteri Kesihatan Steve Barclay.

Pada masa sama beliau berkata Sunak perlu berunding secara langsung dengan jururawat bagi mengelakkan tindakan mogok selanjutnya yang dirancang pada 18 dan 19 Januari. – AFP, 8 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen